Director-General of Health Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Covid-19 cases deaths
Director-General of Health Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Tidak ada sebarang bukti pun yang menunjukkan varian B.1.1.60 atau B.1.470 di Sarawak mempunyai tahap kebolehjangkitan atau virulens yang lebih tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian ‘genomic sequencing’ di Semenanjung mendapati varian sedemikian masih belum ditemui.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak dapat memastikan asal-usul varian SARS-CoV2 di Sarawak itu, namun ia mungkin datang dari Indonesia yang sudah mendaftarkan 67.7 peratus varian yang serupa sejak April tahun lalu.

“Berdasarkan laporan yang diterima daripada pihak Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), terdapat dua varian SARS-CoV-2 yang dikesan iaitu B.1.160.3 dan B.1.160.

“Varian B.1.160.3 (diubah nama kepada B.1.470) didominasi oleh varian dari Indonesia sejak April tahun 2020 dengan prevalen 67.6 peratus (76/108) iaitu dari 108 bilangan ‘full genome sequences’ varian ini yang didaftarkan di Sharing All Influenza Data (GISAID), 76 adalah dari Indonesia.

“Negara lain yang turut melaporkan varian ini ialah Singapura (10.2 peratus; 11/108), Jepun (12 peratus; 13/108) dan minoriti di Taiwan dan Hong Kong.

“Varian ini mempunyai mutasi D614G yang kini biasa ditemui pada hampir majoriti varian SARS-CoV-2,” katanya menerusi hantara di Facebook sebentar tadi.

Noor Hisham memberitahu, varian B.1.160 adalah varian yang lazim ditemui di negara Eropah sejak Julai 2020 bermula dari negara Perancis (11.2 peratus) dan kini didominasi oleh Denmark (28.0 peratus), Switzerland (15.4 peratus) dan United Kingdom (17.2 peratus).

“Varian ini mempunyai mutasi spike D614G dan S477N.

“Bagaimanapun varian yang dominan di UK pada masa ini adalah B1.1.7 yang mana hampir 89.9 peratus distribusi varian ini di dunia adalah tertumpu di UK,” tambah beliau. – MalaysiaGazette