Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberikan sumbangan tanaman untuk gelandangan ketika hadir ke program 'Urban Farming' di Wilayah Perseketuan beri fokus kepada golongan miskin bandar dan gelandangan di Dewan Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Untuk UMNO membuka apa-apa akaun sulit, ia perlu dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dan Perhimpunan Agung.

Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, sepanjang menjadi Ahli MT parti itu, perkara itu tidak pernah dilakukan oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

“Setakat pengetahuan saya, saya tidak pernah ingat pernah ada resolusi dibuat oleh pentadbiran parti iaitu MT UMNO atau Perhimpunan Agung UMNO untuk membuka sebarang akaun yang dianggap sebagai rahsia.

“Kalau tanya saya, setakat apa yang saya tahu sebagai ahli MT, sebagai bekas ketua penerangan, sebagai bekas setiausaha agung tidak pernah ada apa resolusi dibuat untuk menyimpan akaun rahsia,” katanya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dalam sidang media selepas menghadiri program Pertanian Bandar di Wilayah Persekutuan hari ini.

Annuar diminta mengulas mengenai pendedahan dibuat pihak pendakwaan dalam saman sita pelucutan hak berkaitan 1MDB oleh kerajaan terhadap Obyu Holdings yang mendakwa UMNO mempunyai akaun sulit sejak tahun 1988.

Dalam keterangan bertulis bagi membantah dakwaan itu, pihak pendakwa menyatakan akaun tersebut tidak diaudit dan digunakan untuk menerima sumbangan politik.

Dalam pada itu, Annuar tidak menolak sekiranya UMNO memilik sebarang akaun sulit, ada adalah atas inisiatif pihak-pihak tertentu yang berbuat demikan tanpa pengetahuan umum.

“Kalau sekiranya ada pada saya itu mungkin inisiatif individu terbabit.

“Saya tidak tahu sebab saya sebagai bekas Ketua Penerangan, bekas Setiausaha Agung dan Ahli MKT, tidak pernah ada dalam pengetahuan benda begitu pernah dilakukan,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Ketereh itu pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung UMNO pada pada 16 Mac tahun lalu sehinggalah digantikan dengan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan juga sebelum ini juga mendakwa tidak tahu-menahu mengenai kewujudan akaun rahsia UMNO bagi menerima sumbangan politik, seperti didedahkan di mahkamah.- MalaysiaGazette