Penjawat awam antara ditahan lalok ketum di sebuah pangsapuri di Kampung Benggali, Butterworth di sini hari ini.

BUTTERWORTH – Tindakan sekumpulan individu termasuk seorang penjawat awam menyewa sebuah pangsapuri untuk lalok air ketum terbongkar selepas kesemua mereka diberkas polis awal pagi tadi.

Serbuan jam 1.10 pagi di Kampung Bengali itu membawa kepada tangkapan lapan lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 21 hingga 31 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika serbuan dibuat kesemua suspek sedang lalok selain berlibur sesama sambil menari beramai-ramai.

“Hasil serbuan, kita merampas enam bungkus plastik, satu botol plastik yang dipercayai berisi air ketum serta satu set pembesar suara yang digunakan untuk berhibur.

Air ketum antara yang dirampas polis dalam serbuan terbabit.

“Siasatan lanjut juga mendapati pangsapuri berkenaan disewa selama tiga hari dua malam dengan bayaran RM300,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya lagi, kesemua tangkapan direman bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana memiliki air ketum.

“Selain itu, mereka turut dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana berhimpun untuk aktiviti sosial dan merentas daerah,” ujar beliau. – MalaysiaGazette