Arifah memuatnaik gambarnya bersama suami sebagai bukti dia bukan berstatus ibu tunggal.

KUALA LUMPUR – Seorang guru terkejut apabila melihat gambar dan biodata peribadinya terpapar dalam sebuah grup media sosial, kononnya sedang mencari calon suami.

Guru terbabit yang dikenali sebagai Arifah Raedah Tajuddin dan bertugas di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), Perlis memberitahu, beliau terkejut bagaimana pihak tertentu menggunakan gambar dan namanya serta meletakkan statusnya sebagai ibu tunggal kepada dua anak.

“Scammer di mana-mana. Tergamak jandakan saya. Suami saya (masih) hidup lagi,” katanya ringkas menerusi ciapan Twitternya @CgArifahRaedah, semalam.

Beliau bagaimana tidak menyatakan tindakan bakal diambil ke atas pihak yang cuba memalukan dirinya dan keluarga.

Menerusi carian, Arifah adalah seorang guru di sebuah sekolah menengah dan beliau menyedari nama serta gambarnya dijadikan mainan oleh pihak tertentu kira-kira dua hari, dan serta merta menafikan beliau sedang mencari bakal calon suami.

Beliau turut memuatnaik gambarnya bersama suami sebagai bukti poster yang tular itu tidak benar sama sekali.

Sekurang-kurangnya dua grup Facebook menularkan gambar dan biodata Arifah Raedah dengan dua keping gambar berlainan, iaitu akaun Facebook “Group Cari Jodoh Hingga Jannah” dan “Group Meriah Janda Duda Paling Popular”.

Dua gambar Arifah dicuri pihak tidak bertanggungjawab untuk dijadikan biodata kononnya beliau ibu tunggal yang sedang mencari jodoh.

Posting itu menyatakan, Arifah Raedah berusia 44, berstatus ibu tunggal kepada dua anak dan mempunyai hobi bersukan.

Scammer itu juga menyatakan tujuan beliau menyertai grup berkenaan kerana untuk mencari seseorang calon suami yang boleh membawanya bersama anak ke jalan Allah dan mendirikan rumah tangga.

Guru itu percaya, pihak terbabit mencuri gambarnya di IG dan membuka akaun palsu dengan meletakkan nama penuhnya, sebelum dipaparkan di dua grup mencari jodoh.

“Yang saya jumpa setakat ini hanya dalam dua grup sahaja, yang saya tak jumpa entah berapa lagi. Sadis betul siapa yang buat ni,” ciap beliau. – MalaysiaGazette