Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Pendaftaran baharu dan kemaskini bagi Bantuan PRIHATIN Rakyat (BPR) yang sebelum ini dibuka dari 15 sehingga 15 Februari kini dilanjutkan sehingga 25 Februari 2021.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafruk Aziz berkata, ia bagi
memastikan BPR akan diterima oleh mereka yang benar-benar layak, serta mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di hampir seluruh negara ketika ini.

Menurutnya, hanya pemohon yang tidak pernah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 atau Bantuan Prihatin Nasional (BPN) B40 serta isirumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan perlu membuat permohonan baharu.

Tambah beliau, ini termasuk golongan mudah terjejas baharu (newly vulnerable groups) yang layak memohon akibat perubahan status pendapatan mereka ekoran impak penularan Covid-19.

“Dengan adanya proses pendaftaran baharu/kemaskini ini, sebahagian daripada mereka yang tidak lulus dan belum menerima BPR masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan untuk diverifikasi semula,” katanya dalam kenyataan.

Tengku Zafrul berkata, penerima BSH 2020 dan BPN B40 yang lulus sebelum ini tidak perlu membuat pendaftaran baharu/kemaskini sekiranya tiada sebarang perubahan maklumat.

Tambah beliau, pembayaran Fasa 1 BPR kepada mereka akan dipercepatkan kepada penghujung Februari ini, seperti yang diumumkan di dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) pada 18 Januari lepas.

Bayaran Fasa 2 BPR dijangka dibuat awal bulan Mei 2021, ujarnya.

Jelas beliau, setakat ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah menerima hampir 550,000 permohonan baharu yang perlu diverifikasi dan disemak silang di dalam sistem.

Selain itu, jkatanya, proses semak silang juga melibatkan 25 Agensi Kerajaan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, LHDNM
dan sebagainya untuk memastikan mereka yang benar-benar layak diluluskan BPR.

Pemohon BPR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang telah dimuat naik di portal rasmi BPR iaitu, https://bpr.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut. – MalaysiaGazette