Rentas daerah, negeri direkodkan paling ramai individu melanggar arahan SOP PKP semalam.

KUALA LUMPUR – Operasi Pematuhan semalam menyaksikan tangkapan paling ramai individu yang melanggar arahan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sepanjang dilaksanakan 13 Januari lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 1,111 individu ditahan atas pelbagai kesalahan, dengan 1,040 dikenakan kompaun, manakala 71 lagi direman.

Menurut beliau, antara kesalahan terbanyak direkodkan semalam ialah cubaan rentas daerah, negeri tanpa kebenaran sebanyak 306 kes atau individu, tiada penjarakan fizikal (300), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (107).

Ismail Sabri Yaakob

Katanya, polis juga merekodkan kesalahan tidak memakai pelitup muka sebanyak 97 kes, Keluar rumah tanpa alasan munasabah (68), membawa penumpang berlebihan (58), aktiviti pusat hiburan (55), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (11) dan lain-lain (109).

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis juga telah membuat 78,369 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP di seluruh negara.

“Ini melibatkan seramai 2,978 pasukan pematuhan dengan 14,648 anggota, yang membuat pemantauan di 6,048 restoran, 4,217 pasar raya, 3,858 bank, 2,625 penjaja, 1,715 kilang dan 681 pejabat kerajaan.

“Turut dipantau ialah 1,164 terminal pengangkutan darat, 267 terminal pengangkutan air dan 91 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mengenai Operasi Benteng kawalan sempadan negara, katanya, pasukan keselamatan telah menangkap 22 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas enam kenderaan darat.

Kata beliau, dalam operasi itu juga, pihak berkuasa turut mengesan 91 bot atau kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan.

Berhubung saringan wajib pekerja warga asing, Ismail Sabri berkata, semalam seramai 5,402 warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu 11 didapati positif.

Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, seramai 373,587 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 melibatkan 16,969 majikan.

Daripada jumlah itu, kata beliau, 7,234 orang telah disahkan positif Covid-19, manakala 366,353 lagi negatif.

“Sehingga kini juga, sebanyak 1,370 klinik telah terlibat dengan program saringan ini. Seperti yang telah diumumkan, ujian saringan adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari lalu,” katanya. – MalaysiaGazette