Ahmad Zahid Hamidi close contact Covid-19 case Janda Baik, Judge Collin Lawrence Sequerah money laundering corruption criminal breach of trust CBT Yayasan Akalbudi foundation
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dilaporkan susut sebanyak 5.6 peratus pada tahun lepas dan ia terburuk pernah berlaku sejak tahun 1998.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kali terakhir KDNK tahunan negara dilaporkan mencatatkan kemerosotan -1.5 peratus ialah pada tahun 2009.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini berpandangan KDNK sebanyak -5.6 peratus tahun lepas suatu perkembangan yang baik.

“Ia kerana unjuran awal Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF adalah -5.8 peratus. Saya tepuk dahi. Rakyat kesuntukan masa. Mereka tidak mampu menunggu unjuran seterusnya dengan harapan akan lebih baik.

“Kesan ekonomi mikro ke atas rakyat pula bersifat semasa bukan terakru. Amat besar dan memeritkan. Kita maklum pandemik Covid-19 antara penyebab kepada penyusutan ekonomi.

“Ketidakstabilan politik juga antara faktor pelabur memindahkan operasi ke negara lain,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Namun kata Ahmad Zahid, dengan dasar dan perancangan yang efektif, kesan langsung terhadap ekonomi rakyat boleh diminimumkan.

Tetapi ujar beliau, apa yang berlaku setakat Disember lalu seramai 772,900 orang dilaporkan hilang pekerjaan.

“Saya bimbang ramalan mengatakan kadar pengangguran akan bertambah. Bagi yang dibuang kerja apa patut dilakukan jika kedudukan ekonomi negara terus di paras negatif?

“Mungkinkah sektor pertanian boleh dioptimumkan untuk membantu rakyat yang terjejas ini? Sedangkan, sebelum ini diceritakan mengenai mereka yang hilang pekerjaan berjaya dalam bidang pertanian.

“Menanam cili dan sebagainya tanpa memerlukan kawasan yang terlalu besar. Alangkah baik jika lebih banyak bantuan kewangan segera disediakan kepada rakyat yang mahu mengusahakan tanaman,” katanya.

Beliau berkata, ketika sektor lain terjejas akibat Covid-19, industri berasaskan makanan dan pertanian sentiasa mendapat sambutan.

Jika itu dilakukan, katanya, sekurang-kurangnya membantu ekonomi rakyat, sekali gus menjamin sekuriti makanan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast