Saarani bersama Noor Hisham (kiri), Mohd Khairul dan Takiyuddin ketika mengadakan lawatan kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Covid-19 di Perak hari ini.

IPOH – Perak mencatatkan jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 7,393 sejak 14 Mac 2020 hingga semalam.

Daripda tempoh itu, sebanyak 36 kematian dilaporkan.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kadar kejadian (IR) kes Covid-19 di negeri itu adalah 283 bagi setiap 100,000 orang penduduk berbanding IR Malaysia sebanyak 782/100,000 penduduk.

“Kes pertama Covid-19 di sini dilaporkan pada 14 Mac 2020 dan setakat ini sebanyak 7,393 kes dengan 36 kes kematian atau 0.49% dilaporkan.

“Perak juga terkesan daripada gelombang ketiga Covid-19 yang sedang melanda seluruh negara. Jumlah kes yang dilaporkan dalam fasa ini bermula pada 29 September 2020 di Perak adalah sebanyak 7,124 kes iaitu 96.4% daripada jumlah kes terkumpul,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan selepas lawatan kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Covid-19 ke Perak bagi membincangkan berkenaan Proklamasi Darurat yang telah diisytiharkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama pihak kerajaan negeri.

Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-undang),Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

Menurut beliau, sepanjang pandemik Covid-19, sebanyak 43 kluster dikesan di seluruh Perak dan 19 daripadanya masih aktif.

“Setakat semalam, sebanyak lima mukim membabitkan Taiping, Sitiawan, Bota, Ipoh dan Gerik dilaporkan berada dalam Zon Merah dengan bilangan kes semasa melebihi 41 kes.

“Tiga mukim iaitu Senggang, Chemor dan Hulu Bernam Timur berada dalam Zon Jingga dengan bilangan kes semasa sebanyak 21 hingga 40 kes manakala 41 Mukim berada dalam Zon Kuning dan 29 mukim Zon Hijau,” ujar Saarani. – MalaysiaGazette