Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Seramai 214 pengusaha bas dan van sekolah di Kelantan gulung tikar akibat hilang punca pendapatan sejak Mac tahun lepas susulan penutupan sekolah akibat penularan COVID-19.

Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Kelantan, Wan Mohd Nuhairi Wan Hamat berkata, rata-rata pengusaha bas dan van sekolah amat terdesak, sehingga ada yang terpaksa menjual bas dan van mereka kerana tiada lagi pendapatan.

Beliau berkata, akibat terdesak juga ada dalam kalangan mereka menjual kenderaan berkenaan dengan harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran, selain menjual kepada peniaga besi buruk dengan harga RM5,000 hingga RM7,000 demi meneruskan kehidupan selain tidak mampu menampung kos operasi.

“Ramai yang tertekan kerana sejak bulan Mac tahun lepas lagi kami tiada punca pendapatan, malah pihak persatuan juga tidak mampu untuk membantu para ahli… Ada yang terpaksa menjual bas dengan harga lebih rendah daripada pasaran kerana tidak mampu menampung kos operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima bantuan daripada Program Sumbangan Musaadah Membabitkan Pemandu Bas dan Van oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood.

Terdahulu 214 pengusaha bas dan van sekolah menerima bakul makanan yang bernilai RM50 yang disumbangkan oleh pihak YADIM Kelantan secara pandu lalu, yang turut dihadiri pengarahnya, Mahadi Awang.

Mengulas lanjut Wan Mohd Nuhairi berkata, pengusaha bas sekolah berharap kerajaan dapat membantu mereka, khususnya dari segi memudahkan pinjaman bank.

“Kami memohon pihak yang berkaitan termasuk kerajaan dan kerajaan negeri tampil membantu menyalurkan bantuan kepada pihak persatuan untuk meneruskan kehidupan dan memberi sinar baharu kepada golongan kami seperti bantuan pinjaman melalui bank untuk modal pusingan dan sebagainya.

“Sebelum ini ramai ahli terpaksa membuat pinjaman melalui syarikat kredit kerana bank enggan memberi pinjaman bagi pembelian bas sekolah, malah keadaan itu sekali gus menyebabkan pengusaha bas terpaksa menanggung kadar faedah yang tinggi,” katanya. – Bernama