Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Walaupun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sesi rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) namun pemimpin Pas itu masih ‘bekerja’.

Hari ini, beliau sempat mengeluarkan kenyataan mengutuk Israel.

Kenyataan 32 perenggan itu ditulis Abdul Hadi ketika beliau masih mendapatkan rawatan di IJN sejak Isnin lalu.

“Negara haram Israel yang ditubuhkan dijaga habis-habisan sejak awal lagi, sehingga terpelihara daripada sebarang hukuman undang-undang antarabangsa yang sangat lemah, laksana sarang labah-labah hanya menangkap serangga kecil dan lemah. Adapun helang yang besar berlalu bebas.

“Setiap keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjadi ancaman kepada Israel akan divetokan oleh heronya, maka Israel tetap diselamatkan,” tulisnya dalam Facebooknya hari ini.

Abdul Hadi berkata, peristiwa penubuhan negara haram Israel selepas Perjanjian Balfour kini sudah sampai 100 tahun di mana ada perjanjian melibatkan kumpulan zionis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Israel dibekalkan dengan segala senjata dan ia tidak langsung terikat dengan sebarang perjanjian.

“Negara haram Israel yang ditubuhkan itu diiktiraf sebagai sah kewujudannya, walaupun bumi itu dirampas daripada penduduk asal yang dihalau keluar secara paksaan yang paling zalim sejak bermulanya sehingga kini.

“Sebaliknya penduduk asal Palestin pula dipaksa dengan pelbagai tawaran yang mewah dan dipujuk oleh jiran-jiran mereka yang tidak berperikemanusiaan supaya menyelamatkan Israel,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan Ahli Parlimen Marang itu meminta anaknya, Muhammad Khalil untuk menghantar komputer riba dan sambungan internet kepadanya yang kini berada di IJN.

Menerusi kiriman Facebook, Muhammad Khalil berkata, bapanya membuat permintaan berkenaan untuk melakukan kerja-kerja beliau.

“Ley, kalu mari jangan lupa bawak laptop dan internet (broadband portable wifi) ayah yer. Tak puas sangat duduk kat wad nie, boleh ayah ikuti berita dan buat kerja,” tulis Muhammad Khalil semalam.

Untuk rekod Abdul Hadi dikejarkan ke Hospital Putrajaya apabila mengalami masalah sesak nafas. – MalaysiaGazette