Arthur Joseph Kurup
Arthur Joseph Kurup

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberi perhatian yang serius kepada isu keselamatan sempadan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

Lantaran itu, semua pihak perlu berhenti daripada mempolitikkan isu keselamatan sebaliknya menyokong usaha kerajaan mengekang ancaman pengganas.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, setiap individu harus memainkan peranan untuk membantu melindungi negara kerana hanya satu insiden keganasan boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.

”Apabila bercakap mengenai pertumbuhan ekonomi, sudah pasti ia memerlukan persekitaran yang kondusif iaitu selamat dan aman.

“Ini kerana, kemajuan dan perkembangan ekonomi boleh terbantut akibat tindakan-tindakan keganasan yang akan memusnahkan banyak infrastruktur, memusnahkan iklim pelaburan, menurunkan produktiviti dan meningkatkan kadar pengangguran di kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pesuruhjaya Polis Negeri Sabah yang mendakwa kumpulan pengganas telah menyelinap masuk ke kawasan pendalaman Sabah adalah amat membimbangkan.

Justeru, kawalan keselamatan bagi semua aspek perlu dipertingkat terutama dalam kawalan sempadan bagi mengelak sebarang tindakan keganasan yang akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Ditambah pula dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini, sebarang usaha-usaha kerajaan perlu disokong sepenuhnya untuk meningkatkan ekonomi negara.

Jelasnya, tiada pihak yang akan mendapat keuntungan jika ekonomi negara tidak dapat dipulihkan.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan menambah, setiap individu harus memainkan peranan untuk membantu melindungi negara.

Pada masa sama, ujarnya, pihak majikan perlu lebih berhati-hati dan telus dalam pengambilan pekerja dan mengutamakan pekerja tempatan.

Majikan tidak seharusnya lebih berminat menggaji pekerja asing dengan alasan tertentu, sekaligus akan menafikan hak penduduk tempatan untuk mendapatkan pekerjaan.

”Saya turut memuji tindakan anggota keselamatan (polis dan tentera) yang bertugas 24 jam bagi memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara kekal terpelihara, terutamanya di Sabah ini,” katanya. – MalaysiaGazette