SEBERANG PERAI – Seorang wanita sanggup menyembunyikan anak tirinya di dalam but kereta untuk merentas daerah semata-mata kerana hendak ke sebuah pasar raya di Seberang Jaya di sini semalam.

Bagaimanapun, cubaan wanita berusia 35 tahun itu gagal selepas dia yang memandu kereta jenis Proton Waja itu ditahan di Sekatan Jata Raya di Kilometer 2.4 Lebuh Raya Butterworth- Kulim.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, wanita itu ditahan susulan berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pihak polis memeriksa keretanya.

Katanya, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang didakwa kawan anak tirinya berada di bahagian penumpang hadapan.

Manakala pemeriksaan lanjut di bahagian but membawa kepada penemuan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang juga anak tirinya.

“Hasil siasatan mendapati wanita itu dari arah Butterworth menghala ke sebuah pasar raya di Seberang Jaya untuk membeli pakaian.

“Memandangkan hanya dua orang saja dibenarkan dalam satu kenderaan wanita itu menyembunyikan anak tirinya dalam but bagi mengaburi mata polis ketika melalui SJR,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Shafee, tindakan kompaun dikenakan terhadap wanita itu manakala dua remaja itu dilepaskan kerana bawah umur.

“Kita beri nasihat kepada remaja itu sebelum mereka dilepaskan dan kenderaan itu juga diarahkan patah balik,” ujar Shafee. -MalaysiaGazette