KUALA LUMPUR – Tindakan pantas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mematahkan sindiket penjualan setem hasil kerajaan dan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang bernilai puluhan jutaan ringgit, adalah kejayaan terbaik agensi penguatkuasa itu.
Namun, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bimbang sumber hasil kerajaan telah dijadikan sasaran oleh kumpulan sindiket untuk mengaut keuntungan dengan menjualnya di pasaran gelap.
Ketua Penerangannya, Ashraf Rosli berkata, jika Setem Hasil dan pas PLKS boleh dijual sewenang-wenangnya, tidak mustahil kumpulan sindiket turut memperluaskan aktiviti haramnya dengan menjual kad pengenalan kepada warga asing.
“Putra mengucapkan syabas dan tahniah kepada SPRM kerana berjaya menumpaskan sindiket rasuah penjualan dokumen hasil kerajaan secara besar-besaran.
“Tetapi, jika diperhalusi daripada tangkapan itu, kita sangat bimbang kerana Setem Hasil adalah salah satu sumber pendapatan negara dan kegagalan penguatkuasaan terhadap sindiket terbabit mengakibatkan ketirisan pendapatan yang bukan sedikit jumlahnya.
“Kita juga tertanya-tanya mengenai sindiket menjual kad pengenalan kepada warga asing sebelum ini, di mana penjualan yang tiada diskriminasi ini boleh membahayakan keselamatan negara, jika jatuh ke tangan penjenayah antarabangsa,” katanya di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan media semalam, bahawa tujuh ahli sindiket disyaki terlibat dalam penjualan setem hasil kerajaan dan pelekat pas PLKS yang melibatkan kerugian hasil kerajaan melebihi RM15 juta berjaya ditahan oleh SPRM.
Ketujuh-tujuh yang terlibat berusia antara 30 hingga 39 tahun itu terdiri dari empat kakitangan sebuah syarikat percetakan keselamatan dan tiga orang awam.
Sumber memberitahu, sejumlah 2,500 keping Setem Hasil Kerajaan bernilai RM250 dan RM10 yang keseluruhannya bernilai RM12.5 juta telah dirampas dalam operasi besar-besaran yang diadakan semalam di sekitar Kuala Lumpur.
Menurut Ashraf, amat malang bagi sebuah negara yang boleh dikatakan maju dan moden, masih ketinggalan dalam memastikan keselamatan data serta pengenalan individu daripada terjaga.
Kata beliau, sistem penyimpanan data yang kurang efisen, ditambah segelintir kakitangan awam tidak amanah, ‘bijak’ memanipulasi sistem kerana godaan untuk hidup mewah dan bergaya semata-mata.
“Sifat tidak patriotik dan hidup di atas prinsip ‘wang adalah segala-galanya’ ini akan menjerumuskan mereka dalam perangkap kumpulan sindiket.
“Kumpulan dan perbuatan ini akan mengaburi mata mereka dengan kemewahan sehinggakan negara bukan sahaja rugi dari segi perbendaharaan negara, tetapi juga membuka ruang bagi anasir subversif untuk mengganggu-gugat keselamatan dan kestabilan negara.
“Justeru, Putra menggesa kerajaan mengenakan hukuman sebat mandatori bermula dari tiga hingga 10 kali sebatan di khalayak umum diperkenalkan, selain penjara bagi menghapuskan amalan rasuah dan salah guna kuasa ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















