KUALA LUMPUR – Isu keselamatan politik serantau dan antarabangsa, pemulihan ekonomi pasca Covid-19, haji dan umrah, keselamatan makanan serta perdagangan minyak sawit antara topik dibincangkan dalam lawatan dan pertemuan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan rakan sejawatnya, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faizal Farhan Al Saud, di negara itu semalam.
Menteri Luar itu berkata, kerajaan Malaysia menzahirkan kegembiraan hubungan dua hala dengan kerajaan Arab Saudi yang semakin kukuh serta menegaskan komitmen teguh untuk meningkatkan usahasama dua hala sedia ada ke peringkat strategik.
“Saya dan Putera Faisal juga memuktamadkan rundingan berkenaan penubuhan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi sebagai mekanisma dua hala yang menyeluruh di peringkat Menteri Luar Negeri.
“Mekanisma ini berupaya membuka lebih banyak jalan usahasama berhubung pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Hishammuddin tiba di Arab Saudi semalam.
Mengakui kepentingan untuk membina pelan pemulihan ekonomi yang kuat dan berdaya tahan susulan pandemik Covid-19, Hishammuddin berkata, kedua negara bersetuju memupuk kerjasama lebih erat dalam bidang perdagangan serta pelaburan termasuk berkaitan teknologi dan inovasi.
Dalam pada itu, beliau juga mengadakan pertemuan yang produktif dengan Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman bin Abdulaziz.
Katanya, dalam pertemuan itu, kerjasama dua hala untuk mengekalkan kestabilan pasaran minyak serta kaedah meningkatkan peluang pelaburan antara kedua-dua negara telah dibangkitkan.
“Selain pertemuan dengan Menteri Luar Negeri dan Menteri Tenaga, terdapat beberapa lagi pertemuan dengan kepimpinan tertinggi kerajaan Diraja Arab Saudi.
“Lawatan kerja ini telah menyumbang kepada usaha mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara.
“Malaysia dan kerajaan Arab Saudi terus menikmati hubungan persaudaraan yang erat dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pengajian tinggi dan urusan haji,” katanya.
Pada tahun 2020, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi mencatatkan jumlah AS$4.83 bilion (RM20.27 bilion) dan Arab Saudi adalah rakan dagang kedua terbesar di Malaysia di Timur Tengah. – MalaysiaGazette
















