Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada Majlis Perasmian MyDigital dan Rangka Tindakan Ekonimi Digital Malaysia secara dalam talian di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Inisiatif MyDIGITAL yang merangkumi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia merupakan pelengkap kepada dasar pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, MyDIGITAL menetapkan gabungan inisiatif dan sasaran merentasi tiga fasa pelaksanaan hingga tahun 2030.

Jelas beliau, menjelang tahun 2025, ekonomi digital dijangka menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Pada masa yang sama, pelan itu juga menyasarkan untuk membuka 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital.

“Sementara itu kerajaan juga akan mengalakkan sebanyak 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana menerima guna e-dagang.

“Selain itu, inisiatif-inisiatif dibawah naungan MyDIGITAL ini juga dapat memangkinkan 5,000 syarikat peringkat permulaan atau startups dalam masa lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran MyDIGITAL & Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen dan Facebook Rasmi Unit Perancang Ekonomi di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Muhyiddin menambah, inisiatif MyDIGITAL juga akan menjadi titik tolak untuk menarik pelaburan baru dalam sektor digital sebanyak RM70 bilion dari dalam dan luar negeri.

Seterusnya, jelas beliau, kerajaan menyasarkan tahap produktiviti sektor ekonomi meningkat 30 peratus lebih tinggi berbanding hari ini menjelang tahun 2030.

Menurutnya, bagi sektor awam, semua agensi akan menyediakan kemudahan transaksi tanpa tunai sebagai pilihan utama menjelang tahun 2022.

“Inisiatif MyDIGITAL ini berhasrat untuk memperkasakan setiap rakyat Malaysia, dari Perlis ke Sabah, untuk memperbaiki kehidupan mereka dalam setiap aspek.

“Antaranya, ia merangkumi idea dan pelan untuk meningkatkan literasi digital, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, menjadikan urusan perbankan dan kewangan dan lebih mudah dan teratur, memberikan akses pendidikan secara maya kepada anak-anak kita serta membawa kemudahan perubatan ke pekan terpencil.

“Ia juga merupakan suatu pelan halatuju transformasi digital yang mampu mengupayakan sektor perniagaan untuk bersaing di pentas global dengan memantapkan kelancaran dan kecekapan operasi mereka,” katanya. – MalaysiaGazette