Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokaliti taman-taman perumahan dalam Bandar Muadzam Shah, Rompin, Pahang lebih awal dari ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tempoh asal tamat PKPD bagi lokaliti itu ialah pada 22 Februari ini.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan jangkitan wabak Covid-19 di kawasan itu terkawal dan kes positif menurun maka kerajaan bersetuju menamatkannya mulai jalm 12.01 tengah malam ini.

Katanya, pelaksanaan PKPD di taman-taman perumahan itu bermula 9 Februari lalu.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan sebanyak 886 saringan dan daripada jumlah itu, 36 kes positif Covid-19 direkodkan.

“KKM juga mengesahkan jangkitan di lokaliti ini adalah terkawal dengan kes positif terakhir direkodkan pada 4 Februari lalu dan tiada lagi sampel saringan yang menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Mengenai tangkapan ingkar SOP PKP, beliau berkata, semalam, seramai 443 individu ditahan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 404 dikompaun manakala 39 lagi individu direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal, gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan, rentas daerah/negeri tanpa kebenaran, tidak memakai pelitup muka, premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran, keluar rumah tanpa alasan munasabah, aktiviti perjudian, membawa penumpang berlebihan dan ingkar arahan kuarantin,” katanya.

Dalam Operasi Benteng pula, seramai 39 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditangkap dan sebuah bot serta dua kenderaan darat rampas.

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan sebanyak 118 bot atau kapal di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri menyatakan, sejak 1 Februari lalu sehingga semalam, seramai 412,925 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 melibatkan 19,721 majikan.

“Semalam sahaja seramai 12,763 warga asing telah menjalani ujian itu dan 27 daripadanya didapati positif Covid-19, menjadikan sehingga kini seramai 7,580 orang telah disahkan positif, manakala 405,345 lagi negatif.

“Sehingga kini juga, sebanyak 1,449 klinik telah terlibat dengan program saringan ini dan semua pekerja warga asing wajib menjalani ujian itu bermula 1 Februari lalu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast