KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menyambut baik pengumuman kerajaan untuk membenarkan restoran beroperasi dine-in di semua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan hari ini.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, berdasarkan pengalaman PKP pertama tahun lalu, PRESMA mengesyorkan kepada ahli supaya mengambil iktibar daripada operasi perniagaan yang tergendala sebelum ini dengan memastikan semua SOP dipatuhi sebaik mungkin kali ini.
Beliau menasihatkan lebih 4,200 ahli supaya tampil dengan inisiatif mengehadkan jumlah pelanggan terutama pada waktu puncak dengan menggunakan sistem nombor.
“Ini mengelakkan restoran sesak dengan pelanggan tanpa penjarakan satu meter seperti dibenarkan kerajaan.
“Kita juga menasihatkan pemilik restoran menyediakan ruang khusus di premis untuk pelanggan yang membeli secara bungkus bagi mengelakkan terlalu ramai berada di meja makan.
“Dengan kaedah itu, dapat membantu melandaikan lekuk jangkitan yang berpunca daripada aktiviti di restoran, selain menjamin perniagaan ahli dapat beroperasi seperti biasa,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan persetujuan kerajaan untuk melonggarkan syarat jumlah pelanggan makan di restoran dan penumpang kenderaan mulai hari ini.
Katanya, kelonggaran itu dikuatkuasakan di negeri PKPB dan PKPP termasuk yang masih dilanjutkan PKP seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.
Jawahar berharap kesan daripada langkah proaktif itu, perniagaan yang terjejas dapat berjalan seperti biasa dengan lanjutan waktu operasi sehingga 12 malam seperti sebelum wabak melanda.
“Beberapa isu juga akan dibawa kepada pertimbangan kerajaan selepas ini termasuk kemudahan pinjaman tanpa syarat kepada peniaga terjejas, subsidi sewa serta isu pemutihan pekerja asing yang memerlukan pendekatan menang-menang kepada industri ini.
“Kita juga mengulangi komitmen untuk bersama kerajaan memerangi pandemik ini agar kekal selamat, sihat dan sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette
















