Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Selangor mencatatkan kes harian baharu Covid-19 tertinggi iaitu sebanyak 978 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 722 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Ini diikuti oleh Johor sebanyak 730 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 227 kes, kata dalam satu kenyataan hari ini.

Sebanyak 112 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Tapah (64 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (17 kes), Kluster Tembok Bendera (14 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (6 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (6 kes), Kluster Tembok Taiping (2 kes), Kluster Telok Mas (1 kes), Kluster DTI Sepang 2 (1 kes) dan Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (1 kes).

Noor Hisham memberitahu, kes-kes kematian yang direkodkan hari ini melibatkan enam kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tiga kes di Selangor, dua kes di Sarawak serta masing-masing satu kes di Melaka dan Johor.

Bagaimanapun, kata beliau, sebanyak 12 kes kematian melibatkan warganegara manakala satu kes lagi bukan warganegara.

Sementara itu Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 13 lagi kluster baharu Covid-19 ditemui.

Jelasnya, sebanyak 10 kluster adalah berkaitan tempat kerja, dua membabitkan komuniti manakala satu lagi melibatkan kumpulan berisiko tinggi.

Empat daripada kluster-kluster yang ditemui iaitu lima di Johor, masing-masing di Selangor, Sarawak dan Terengganu manakala, satu di Kuala Lumpur.

Kluster-kluster berkenaan adalah Jalan Kota Murni, Jalan Murni 12, Jalan Tun Mutahir, Jalan Indah Utama, Parit Haji Khamis, Kompleks Perabut, Jalan Sementa, Singgahmata, Kejatau, Jalan Kuchai, Jalan Green, Bukit Petiti dan Kubang Jambu.

Noor Hisham berkata, kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Jalan Murni 12 (339 kes), Kluster Jalan Perindustrian Pelepas (179 kes) dan Kluster Industri Tekstil Nilai (113 kes).

Ujarnya, lapan kluster turut ditamatkan hari ini iaitu Kluster Halban, Kluster Tombovo, Kluster Kauran, Kluster Kubang Bujuk, Kluster Tapak Bina Jalan Yap, Kluster Jalan Perwira, Kluster Jalan Indah Gemilang, dan Kluster Tembok Nanas. – MalaysiaGazette