Firzan Hakimi

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) didakwa membuat keputusan pembukaan persekolahan secara terburu-buru kerana sesi persekolahan di tiga negeri bermula semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih lagi dilaksanakan.

Murid-murid Tahun 1 dan 2 akan mula bersekolah pada 1 Mac ini manakala Tahun 3 hingga Tahun 6 pula bermula pada 8 Mac.

Sedangkan PKP 2.0 masih lagi dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor sehingga 4 Mac.

Ketua Penerangan AMK Damansara, Firzan Hakimi berkata, ini bermakna sesi persekolah akan mula dibuka melibatkan empat negeri berkenaan dalam keadaan PKP belum tamat sepenuhnya.

Lebih parah lagi, katanya, apabila KPM baru sahaja memperkenalkan DidikTV KPM bagi meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara pada 17 Februari lalu.

Katanya, sebahagian besar ibu bapa dan penjaga telah berusaha bagi mendapatkan peranti digital yang sesuai dimanfaatkan bagi memastikan sesi pembelajaran anak-anak mereka dapat berjalan dengan lancar.

Oleh itu, Firzan menyeru supaya kerajaan khususnya KPM menelusuri dan mengkaji semula arahan yang sudah diputuskan supaya ianya dapat meringankan beban ibu bapa yang sudah bertungkus lumus bekerja keras untuk menyediakan ruang dan alatan yang kondusif dan efektif buat anak-anak mereka.

Katanya, setelah hampir setahun, anak-anak sekolah rendah dan menengah mengalami kesukaran dalam meneruskan pembelajaran atas talian, jangan pula bebankan mereka dengan mengambil risiko dijangkiti penularan wabak Covid-19 sejurus sesi persekolah ini dibuka. – MalaysiaGazette