Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung pembukaan semula sesi persekolahan semalam mampu memberi kelegaan kepada golongan ibu bapa yang bekerja.

Malah, ia juga boleh memberi keselesaan kepada ibu bapa yang mendapat arahan daripada majikan untuk bekerja dari rumah, kata Ketua Badan Pimpinan Negeri, Wilayah Persekutuan (BPNWP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya.

Beliau berkata, murid-murid dan juga pelajar sekolah dapat mengikuti kembali pembelajaran secara formal dan ia sekaligus membolehkan mereka menerima pendidikan secara kondusif.

“Mungkin ada dalam kalangan ibu bapa yang sudah mula risau tentang pendidikan anak mereka kerana sudah lama tidak ke sekolah.

“Dalam hal ini, saya yakin kerajaan sudah menimbang kepelbagaian sudut sebelum memutuskan untuk pembukaan semula sesi pembelajaran di sekolah meskipun negara masih berdepan pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Suhaimi mengharapkan agar ibu bapa tidak perlu risau dengan keselamatan anak mereka kerana sudah pastinya KPM membuat keputusan itu berdasarkan pandangan yang diputuskan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Meskipun, pembukaan sekolah itu dibuat dalam dua peringkat namun, sudah sudah pasti KPM menyediakan garis panduan dan SOP tertentu dalam memastikan murid-murid dan pelajar berada dalam keadaan selamat.

“Untuk itu, ibu bapa tidak perlu risau dan serahkan kepada pihak sekolah untuk menguruskannya,” ujarnya.

Bagaimanapun Muhammad Suhaimi berkata, ibu bapa tidak boleh mengambil ringan, sebaliknya, harus sentiasa membantu mengingatkan anak-anak mereka terhadap tanggungjawab dalam menjaga kebersihan diri serta patuh kepada SOP yang ditetapkan.

Semalam, Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin mengumumkan pembukaan semula sekolah dalam dua peringkat.

Sekolah kebangsaan akan dibuka pada 1 Mac depan melibatkan pelajar sekolah rendah darjah satu dan dua.

Bagi murid-murid lain iaitu tahun 3 hingga 6, mereka akan mula hadir ke sekolah pada 8 Mac depan.

Dalam pada itu, Muhammad Suhaimi menggesa pihak-pihak tertentu berhenti daripada menularkan kata-kata sindiran terhadap kerajaan berhubung langkah pembukaan semula sesi persekolahan itu.

Ketua Badan Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan (BPNWP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya

Katanya, sejak semalam terdapat pihak-pihak yang mengkritik KPM kerana membuat keputusan berkenaan sedangkan ramai dalam kalangan ibu bapa telah berhabis wang ringgit untuk membeli peralatan buat anak mereka mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Ada juga yang mempertikai langkah kerajaan mewujudkan rangkaian TV Pendidikan namun, akhirnya sekolah dibuka semula.

“Kita serahkan sahaja urusan itu kepada kerajaan dan KPM sudah pasti ada langkah-langkah komprehensif yang dirangka untuk memberi pendidikan kepada murid-murid sekolah. – MalaysiaGazette