Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR – Orang ramai cenderung menyalahkan penjawat awam apabila berlaku ketirisan dalam perolehan kerajaan, tanpa menyedari bahawa mereka juga berdepan tekanan daripada menteri.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, menteri berada di hierarki teratas dalam kementerian sementara ketua setiausaha hanya menjalankan tugas.

Katanya, PAC mendapati bahawa sesetengah menteri akan memberi arahan atau bayangan supaya satu-satu kontrak diberi kepada individu yang khusus.

“Menteri akan memberi arahan secara terang atau secara bayangan, mereka juga mungkin menyatakan ‘harus dipertimbangkan’ dalam rekod mesyuarat perolehan.

“Malahan, ada menteri yang mengeluarkan surat atau menghantar surat kepada Perdana Menteri, meminta kontrak diberikan kepada individu tertentu.

“Dalam keadaan seperi ini, macam mana penjawat awam termasuk pegawai kanan seperti ketua setiausaha boleh mengingkari secara terbuka?” katanya dalam wawancara bersama Nanyang Siang Pau.

Beliau berkata, keadaan terbaik adalah urusan perolehan dijalankan tanpa penglibatan atau campur tangan menteri.

“Walaupun bukan semua kontrak adalah tidak baik atau membabitkan penyelewengan, tetapi ia akan mewujudkan implikasi negatif jika berlaku arahan daripada menteri,” katanya.

Katanya, antara isu yang boleh timbul termasuk perolehan yang tidak memenuhi syarat.

“Apabila menteri cuba mengelak prosedur perolehan yang ada dan memberi kontrak secara terus, isu seperti kontraktor tidak layak atau harga yang lebih mahal akan wujud,” katanya.

Kah Woh berkata, walaupun rundingan terus oleh kerajaan adalah dibenarkan, tetapi intipatinya adalah sama ada ia dijalankan mengikut peraturan yang ada. – MalaysiaGazette