Dr. Zulkifli Mohamad AL-Bakri

KUALA LUMPUR – Umat Islam diminta jangan bertindak menyalahi lunas perundangan termasuk dalam isu seorang lelaki bukan muslim yang mengaku telah memurtadkan seorang wanita Islam bukan warganegara baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al- Bakri berkata, aspek perundangan perlu diambilkira kerana ia menyentuh sensitiviti agama dan hubungan kaum.

“Kerajaan memandang serius sebaran video yang memaparkan pengakuan seorang lelaki bukan muslim yang mengaku telah memurtadkan seorang wanita Islam bukan warganegara Malaysia.

“Ia kini dalam siasatan polis dan menyeru semua pihak memberikan sepenuh kpercayaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zulkifli, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah terjamin di bawah Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan manakala Perkara 11 Prlembagaan Persekutuan meniktiraf hak dan kebebasan beragama untuk penganut agama Islam dan agama-agama lain di Malaysia termasuklah hak menganutinya dan mengamalkannya.

Pun begitu, menurut Zulkifli, penyebaran agama selain Islam kepada umat Islam adalah tertakluk kepada Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Fasal ini memberi kuasa kepada negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal penyebaran agama lain kepada orang Islam termasuk mengekang sebarang cubaan untuk memujuk, membawa atau mengajak orang Islam keluar dari agamanya sama ada melalui dakyah, perkahwinan atau apa jua cara sekali pun,” tegasnya.

Menurut Zulkifli, hampir semua negeri mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pemgembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam yang digubal berdasarkan punca kuasa kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya difahamkan bahawa Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam bagi Wilayah Persekutuan kini dalam proses akhir penggubalan. Ini mrupakan antara keutamaan kerajaan dalam memperkasa perundangan syariah di Malaysia,” katanya lagi.

Selain penguatkuasaan undang-undang, katanya, kerajaan juga mengambil berat aspek dakwah dan pendidikan dalam menangani isu-isu berkaitan pengukuhan akidah.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui Unit Konsultasi Akidah sentiasa berperanan sebagai hab khidmat nasihat, bimbingan dan istitabah kepada mana-mana umat Islam yang berhadapan dengan masalah, katanya.

“Sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara, saya akan berusaha memastikan sebarang polemik berkaitan agama akan diselesaikan dengan baik dan berhemah,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Isu murtad, JAKIM serah kepada polis