Foto hiasan

SEPANG – Kerajaan akan meneliti cadangan khususnya warga pendidik yang mahu mereka dimasukkan dalam kumpulan penerima awal vaksin Covid-19 pada fasa pertama.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, cadangan itu relevan dan akan diteliti memandangkan Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengumumkan pembukaan semula sekolah pada 1 Mac ini.

“Pada peringkat ini, kami sudah berbincang dengan Kementerian Kesihatan mengenai potensi itu. Namun kita akan adakan perbincangan dengan KPM terlebih dahulu untuk meneliti kumpulan yang harus diberi keutamaan, iaitu kumpulan guru paling berisiko.

“Saya akan meminta Menteri Pendidikan supaya menyediakan satu senarai lengkap penerima vaksin dalam kalangan guru yang berisiko tinggi nanti apabila sekolah dibuka kelak,” katanya dalam sidang media khas ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Menurut Khairy Jamaluddin, senarai itu kemudian akan diperhalusi oleh Jawatankuasa Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 untuk tindakan lanjut.

Pihaknya juga memastikan guru serta petugas media turut disertakan sebagai penerima terawal vaksin kali ini.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung sepenuhnya kepada jumlah bekalan serta penilaian risiko yang akan dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia terlebih dahulu.

“Kumpulan guru yang akan diberi keutamaan dan bagi saya ia lebih adil berbanding kepada permohonan yang diterima daripada semua guru.

“Kita tidak boleh accomodate semua guru sekaligus pada satu masa untuk penerimaan vaksin terawal mulai Rabu ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette