Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah South African B.1.351 Covid-19 variant
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Buat kali pertama, Perak mencatatkan rekod kes positif baharu Covid-19 tertinggi apabila sebanyak 1,215 atau 36.9 peratus kes dilaporkan sekali gus menjadikan negeri yang mempunyai kes harian paling tertinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah ketika mengumumkan perkara itu berkata, dengan jumlah itu, menjadikan kes baharu positif Covid-19 di seluruh negara sehingga jam 6 petang ini ialah 3,297 kes.

Bagi kes kematian pula, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan lima kes menjadikan keseluruhan 1,056 kes sejak wabak Covid-19 melanda negara ini tahun lalu.

Beliau berkata, kes sembuh sehingga petang ini ialah 4,456 kes, kes import (enam), kes tempatan (3,291), kes aktif (33,304) kes yang memerlukan rawatan di ICU (209) dan kes memerlukan bantuan pernafasan (91).

“Mengenai pelaporan kes positif tertinggi di Perak, ia berpunca daripada pertambahan kes bagi Kluster Jalan Changkat Jong iaitu sebuah kluster tempat kerja yang melaporkan kes sebanyak 1,046 kes (86.1 peratus).

“Bilangan kes yang tinggi ini adalah susulan perluasan saringan di tempat kerja dan pengesanan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan,” katanya dalam kenyataan situasi semasa jangkitan Covid-19 hari ini.

Selepas Perak, kata Noor Hisham, Selangor merekodkan kes positif Covid-19 sebanyak 868 kes dan Johor 431 kes.

Kata beliau, sebanyak 124 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Tapah (50 kes), Kluster Tembok Bendera (42 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (18 kes), Kluster Telok Mas (lima), Kluster Penjara Sungai Jelok (lima), Kluster Tembok Bukit Besi (dua) dan Kluster DTI Sepang 2 (dua).

“Bagi kes-kes kematian pada hari ini pula masing-masing melibatkan dua kes di Selangor dan Terengganu serta satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Sebanyak empat kes kematian melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya.

Katanya, sehingga kini terdapat sebanyak 1,074 kluster termasuk enam kluster baharu, 564 kluster tamat dan 510 kluster aktif.

“Enam kluster tamat hari ini ialah Kluster Mikro, Kluster Tasik Utama, Kluster Titian, Kluster Tapak Bina Jalan Wangsa, Kluster Kota Road dan Kluster Tanjung Lumpur;

“Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini pula ialah 82 kluster dan Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi ialah Kluster Jalan Changkat Jong (1,046 kes), Kluster Industri Selesa (171 kes) dan Kluster Tanjung Suria (97 kes).

“Terdapat enam kluster baharu yang telah dikenal pasti hari ini dan semua kluster adalah berkaitan tempat kerja,” katanya.

Daripada enam kluster itu, lima melibatkan Johor iaitu Jalan Persiaran Cemerlang, Jalan Cemerlang Besi, Jalan Kota Kulai, Jalan Kelapa Mawar dan Jalan Panda Ria, manakala satu kluster lagi ialah Perusahaan Baru Pulau Pinang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast