KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di lokaliti Penjara Taiping dan Kuarters Kakitangan, Taiping, Perak ditamatkan mulai esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan sebanyak 482 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif 142 kes telah direkodkan.
Namun, katanya, kementerian mengesahkan baki kes positif di lokaliti itu menunjukkan trend penurunan dan tiada lagi sampel saringan sedang menunggu keputusan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Penjara Taiping dan Kuarters Kakitangan, Taiping, Perak pada 22 Februari ini seperti yang dijadualkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun, katanya, memandangkan berlaku peningkatan kes positif Covid-19 di asrama, kilang dan tapak binaan Central Medicare, Hilir Perak, maka lokaliti itu diletakkan bawah PKPD bermula jam 12.01 tengah malam ini.
Menurut Ismail Sabri, sehingga 19 Februari lalu, KKM telah melakukan 1,966 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 185 orang telah dapati positif Covid-19.
“Dengan itu, kerajaan meletakkan lokaliti ini dalam pelaksanaan PKPD selama dua minggu sehingga 7 Mac ini.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melakukan saringan secara bersasar ke atas hampir 2,808 pekerja warganegara serta bukan warganegara yang tinggal di lokaliti ini dan seterusnya untuk mengawal jangkitan dalam komuniti.
Sementara itu, seramai 493 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP PKP dalam Operasi Pematuhan yang diketuai polis, semalam.
Ujarnya, daripada jumlah itu, 484 individu dikenakan kompaun, manakala sembilan lagi direman.
Antara kesalahan ialah rentas daerah/negeri tanpa kebenaran, tiada penjarakan fizikal, gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan, tidak memakai pelitup muka, aktiviti pusat hiburan, premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran, keluar rumah tanpa alasan munasabah dan aktiviti sukan. – MalaysiaGazette
















