Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor.

JOHOR BAHRU- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor.

Penahanan itu dibuat bagi membantu siasatan berhubung urusan cukai jalan yang dipercayai melibatkan ketirisan mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan sejak Julai 2019.

Menurut sumber, lima lelaki dan dua wanita berusia di antara 27 dan 42 tahun itu ditahan antara pukul 11 pagi dan 1 tengah hari di pejabat SPRM di sini bagi membantu siasatan berhubung urusan cukai jalan Lesen Kenderaaan Motor (LKM) yang melibatkan lebih 1,000 jenis knderaan bermotor.

“Mereka dipercayai telah memanipulasi sistem MYSIKAP bagi urusan cukai jalan LKM dan jumlah ketirisan kutipan cukai jalan Johor itu dianggar mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019,” kata sumber berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Aam Baki yang kini berada di bandar raya ini untuk menghadiri mesyuarat bersama SPRM Johor ketika dihubungi berkata, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistet Johor Bahru esok bagi direman dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.- BERNAMA