Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noo Hisham Abdullah bersama bekalan vaksin yang tiba di KLIA hari ini.-Gambar FB Noor Hisham.

KUALA LUMPUR – Vaksin Covid-19 yang sampai ke Malaysia hari ini mestilah melalui proses penilaian yang sewajarnya dan akan sentiasa dipantau dengan rapat setelah ia digunakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin keluaran Pfizer-BioNtech ini adalah vaksin Covid-19 yang pertama diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Januari lalu dengan nama Comirnaty®️ Concentrate for Dispersion for Injection.

“Di antara kriteria yang diteliti oleh PBKD dan NPRA adalah profil keselamatan vaksin, kualiti vaksin, dan vaksin yang mempunyai nilai efikasi yang baik untuk digunakan untuk kesemua rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya hari ini.

Sebelum itu, beliau bersama-sama Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menyambut ketibaan vaksin Covid-19 yang pertama di Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Selain itu, menurut Noor Hisham, proses pendaftaran bersyarat diberikan kepada penerimanya bertujuan memberikan akses segera kepada vaksin semasa tempoh pandemik menggunakan risk-based approach tanpa mengabaikan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

Noor Hisham antara penerima pertama vaksin berkenaan bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu ini.- MalaysiaGazette