Saadon Mokhtar menunjukkan beberapa keping gambar kebakaran terbuka yang dilaporkan berlaku di sekitar Pulau Pinang baru-baru ini.

BATU KAWAN – Kes kebakaran terbuka yang dilaporkan di Pulau Pinang menunjukkan peningkatan ketara susulan faktor cuaca panas yang kini melanda negara.

Bagaimanapun, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang (JBPPP) mendedahkan aktiviti pembakaran terbuka turut menjadi punca kebakaran termasuk di kawasan cerun bukit.

Pengarahnya, Saadon Mokhtar berkata, sebanyak 328 kebakaran terbuka dilaporkan sejak awal Januari hingga Rabu lalu.

Saadon Mokhtar

Daripada jumlah itu, 140 kes membabitkan kebakaran belukar/lalang, kebun/ladang (4), hutan (25) dan sampah (59).

Jelas beliau, jumlah itu menunjukkan peningkatan memandangkan sebanyak 538 kes membabitkan kebakaran yang sama dilaporkan sepanjang tahun 2020.

“Berdasarkan hasil siasatan selepas melakukan setiap pemadaman api di lokasi kebakaran kita dapati ada kebakaran yang sengaja dilakukan pemilik kebun, ladang bagi membersihkan lalang di kawasan mereka.

“Tindakan mereka berisiko kerana ia juga menjadi punca kebakaran merebak hingga mengakibatkan pihak bomba perlu mengambil masa yang lama serta pelbagai teknik untuk memadamkan api, adakalanya di kawasan cerun bukit,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Menurut beliau, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi menangani isu pembakaran terbuka yang mengakibatkan pelbagai kesan termasuk pencemaran udara.

“Kita mahu JAS kenakan tindakan terhadap mereka yang degil melakukan pembakaran terbuka tanpa memikirkan risikonya.

“Semua orang sedia maklum akta di dibawah JAS mampu mengheret mereka yang tidak bertanggungjawab ke mahkamah selain berdepan hukuman penjara serta denda.

“Kita harap dengan tindakan sebegini mampu mengurangkan kes pembakaran terbuka yang berleluasa,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Saadon turut menasihatkan orang ramai agar menghentikan aktiviti pembakaran terbuka susulan cuaca panas yang melanda negara ketika ini bagi mengelakkannya daripada merebak dengan pantas hingga sukar dikawal. – MalaysiaGazette