Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Sebanyak lapan kluster baharu dikesan dan dilaporkan Kementerian Kesihatan dalam perkembangan harian Covid-19 pada hari ini.

Tujuh daripadanya kluster berkaitan tempat kerja dan satu membabitkan kluster dalam kalangan komuniti.

Tiga kluster dilaporkan di Selangor iaitu Tapak Bina Jalan Kota, Tapak Bina Lombong Timah dan Pasar Jalan Putra.

Di Sarawak dua kluster dikenal pasti iaitu Kluster Sungai Bakong dan Emperoh Jambu manakala masing-masing satu kluster di WP Kuala Lumpur (Kluster Tapak Bina Sungai Batu), Industri Sungai Gadut di Negeri Sembilan dan Kluster Hilir Sungai Kluang di Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kluster yang dilaporkan setakat ini adalah sebanyak 1,082 kluster manakala jumlah yang ditamatkan adalah 578 kluster.

Katanya, sebayak 14 kluster telah ditamatkan pada hari ini iaitu Kluster Parit Jamil, Kluster Manik, Kluster Batu Lapan, Kluster Paloh Tumpat, Kluster Pondok Hidayah, Kluster Sungai Chemubong, Kluster Jalan TJ, Kluster Stutong, Kluster Sungai Ibor, Kluster Industri Apas, Kluster Jalan KKIP Selatan, Kluster Kampung Bukit Lada, Kluster Teknologi Kesidang, dan Kluster Tropika.

Jumlah kluster yang masih aktif adalah 504 kluster sementara kluster pertambahan kes baharu tertinggi hari ini adalah Kluster Sungai Putus (186 kes),Kluster Tapak Bina Jalan Pantai (62 kes), dan Kluster Jalan Cochrane (54 kes).

“Kluster Pasar Jalan Putra dikesan positif menerusi saringan bersasar ke atas pekerja sebuah perniagaan runcit di kawasan pasar borong di Seri Kembangan, Petaling, Selangor.

“Seramai 115 individu disaring manakala sembilan daripadanya disahkan positif.

“Justeru lima lagi kluster tempat kerja pula membabitkan kes positif yang dikesan menerusi saringan bersasar ke atas pekerja-pekerja perindustrian dan tapak binaan sekitar kawasan Kuala Langat;Perindustrian Kot Elmina Rawang,Jalan Ipoh di Kepong;Zon perindustrian Bayan Lepas di Pulau Pinang dan kawasan kilang Sungai Gadut di Seremban,” katanya.

Kata beliau, kluster Emperoh Jambu pula dikesan dalam kalangan komuniti di Kuching dan Samarahan di Sarawak.

Menurutnya kluster berkenaan berusia 45 tahun dikesan positif pada 17 Februari lalu hasil saringan kendiri melibatkan satu majlis pengkebumian ahli keluarga isteri kepada kluster berkenaan di Kampung Emperoh Jambu, Pandawan dan Samarah yang berlangsung antara 3 hingga 5 Februari lalu.

Ujar beliau seramai 337 individu disaring sehingga hari ini dan 60 daripadanya disahkan positif.

“Kluster Sungai Bakong ini pula membabitkan tiga kes positif dikesan pada 19 Februari lalu hasil saringan individu bergejala di sebuah pusat pengajian yang terletak berhampiran Sungai Bakong di Daerah Meradong, Sarikei, Sarawak.

“Sebanyak 593 individu disaring manakala 22 kes dikesan positif dalam kluster tersebut,” ujar beliau.

Sementara itu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam kenyataan media mengenai kes Covid-19 harian memperincikan bahawa kluster Bakong  membabitkan seorang pelajar yang mendiami asrama Murni di Sekolah Menengah Kebangsaan Meradong yang terletak berhampiran Sungai Bakong.

Kenyataan itu menyebut bahawa kes kepada kluster ini adalah kes ke-7,435 yang telah dikesan melalui saringan bergejala pada 15 Februari 2021 setelah mula menunjukkan tanda dan gejala pada tiga hari sebelumnya.

Hasil saringan pengesanan secara aktif di asrama sekolah tersebut mendapati terdapat penambahan 21 kes positif telah dikesan.

“Kesemua 22 kes positif itu dimasukkan ke Hospital Sarikei dan PKRC Sarikei bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.

“Justeru semua guru, kakitangan dan pelajar asrama di SMK Meradong yang telah terdedah juga telah diarahkan untuk menjalani kuarantin dan kawalan pergerakan yang terhad di dalam sekolah sahaja. – MalaysiaGazette