Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Dua lokaliti, masing-masing satu di Sarawak dan Sabah diletakkan bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu mulai esok hingga 8 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua lokaliti itu ialah Kampung Emperoh Jambu, Padawan, Bahagian Kuching, Sarawak dan Kampung Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah.

Ini katanya, berikutan berlaku peningkatan kes positif Covid-19 di dua kampung berkenaan, yang mendorong kerajaan untuk diletakkan bawah pengawasan PKPD.

Kata beliau, bagi lokaliti di Kampung Emperoh Jambu, sebanyak 60 kes positif Covid-19 telah dilaporkan dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan ada peningkatan kes secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Emperoh Jambu, Padawan ini bermula 23 Februari sehingga 8 Mac ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 1,215 penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mengenai Kampung Tanah Merah di Kota Marudu, Sabah, Ismail Sabri menjelaskan, terdapat juga peningkatan kes secara mendadak di lokaliti itu apabila 57 orang didapati positif Covid-19 hasil daripada 226 ujian saringan yang telah dilakukan.

Menurut beliau, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD, juga bermula 23 Februari sehingga 8 Mac ini.

Mengenai kesalahan ingkar SOP PKP, beliau berkata, seramai 509 individu ditahan semalam, dengan 466 dikompaun, 39 direman dan empat lagi dijamin.

Bagi Operasi Benteng pula, pihak berkuasa menangkap 16 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas lima kenderaan darat dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 86 bot atau kapal di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan.

“Pada masa sama, seramai sembilan Pati turut diusir melalui dua aktiviti pengusiran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast