Radzi turun padang ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian, Kajang pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berpuas hati terhadap tahap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kalangan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, hari ini.

Menerusi laman Facebook, beliau memaklumkan berkesempatan melihat perkara itu ketika turun padang ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian, Kajang pagi tadi.

“Hari ini merupakan hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) di mana calon menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu kertas 1.

“Peperiksaan SPM pada tahun ini amat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya.

“Pagi tadi saya bersama Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan berkesempatan melawat ke SMK Saujana Impian untuk meninjau keadaan di sekolah dan pematuhan kepada SOP.

“Keadaan teratur dan peperiksaan berjalan dengan lancar,” ujarnya menerusi laman sosial berkenaan.

Hari ini, seramai 401,105 pelajar di seluruh negara mula menduduki peperiksaan SPM 2020 dalam suasana negara masih berdepan pandemik Covid-19.

Selain berbekalkan pen dan ilmu pengetahuan seperti kebiasaannya apabila memasuki dewan utama peperiksaan, kelainan bagi calon SPM 2020 kali ini adalah mereka perlu membawa ‘perisai’ iaitu pelitup muka atau pelindung muka bagi mencegah penularan wabak tersebut. – MalaysiaGazette