Gambar hiasan

GOMBAK – Penularan wabak Covid-19 bukan sahaja mengancam nyawa dan kesihatan tetapi turut mengubah rutin seharian masyarakat di seluruh dunia.

Hari ini merupakan momen bersejarah bagi pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang mana mereka mempraktikkan norma baharu.

Jika sebelum ini sudah menjadi tradisi para pelajar bersalaman dan meminta restu daripada guru namun kini situasi tersebut berbeza.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Setiabudi, Nur Azfarah Anissa Ainoor Abizzurin meluahkan rasa sedih kerana tidak dapat memeluk erat guru-gurunya yang banyak mencurahkan ilmu.

Pelajar sekolah, Nur Azfarah Anissa Ainoor Abizzurin ketika ditemuramah oleh wartawan di Sekolah Menengah Setiabudi .Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 FEBRUARI 2021.

“Perasaan menduduki peperiksaan sangat berbeza kerana kami tidak dapat bermaafan dengan cikgu seperti kelaziman.

“Minggu lalu ada satu program terakhir sebelum SPM tapi apa yang buat kami sedih sedikit kerana tidak dapat salam dan peluk cikgu untuk minta restu, hanya dapat tengok dari jauh. Perasaan itu memang berbeza dan terkesan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Berkongsi lanjut Nur Azfarah berkata, pada mulanya dia merasa risau untuk hadir ke sekolah kerana memikirkan tentang wabak Covid-19 yang masih lagi berada dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, walaupun semua pelajar di dalam kawasan sekolah patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) namun tiada siapa dapat menjangka apa yang akan berlaku kerana virus tersebut tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Dalam pada itu, Nur Farhanis Shamsudin pula berkongsi mengenai debaran yang dirasainya ketika menduduki peperiksaan SPM 2020.

Pelajar sekolah, Nur Farhanis Shamsudin ketika ditemuramah oleh wartawan di Sekolah Menengah Setiabudi .Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 FEBRUARI 2021.

“Ketika ini saya masih lagi berdebar walaupun sudah selesai menjawab subjek Bahasa Melayu Kertas 1.

“Keadaan sekeliling juga rasa lain sangat kerana kita masih lagi biasakan diri dengan norma baharu ini.

“Apa yang paling dirindui adalah sesi ulang kaji secara beramai-ramai dengan rakan sekelas.

“Pertama kali datang ke sekolah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terdahulu memang rasa seronok sebab dapat belajar bersama dengan rakan dan bersemuka dengan guru,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Muhamad Zulluqman Ariff Mohamad Haris, dia merasa lega kerana dapat menjawab peperiksaan dengan senang hati dan tanpa gangguan.

Pelajar sekolah, Muhamad Zulluqman Ariff Mohamad Haris ketika ditemuramah oleh wartawan di Sekolah Menengah Setiabudi .Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 FEBRUARI 2021.

“Dalam norma baharu ini memang agak susah untuk biasakan diri belajar ‘online’ tapi kita terpaksa terima perkara itu seiring dengan perubahan yang berlaku.

“Walaupun lebih banyak masa belajar dari rumah tapi disiplin harus tinggi kerana kami merupakan ‘batch’ terakhir berkonsepkan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah,” katanya.

Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia 2020 (SPM) diberi cecair pembasmi kuman sebelum masuk ke dewan bagi mengambil kertas peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 dalam pembudayaan norma baharu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Menengah Setiabudi. Gombak, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 FEBRUARI 2021.

Hari ini seramai 401,105 pelajar di seluruh negara mula menduduki peperiksaan SPM 2020 dalam suasana negara masih berdepan pandemik Covid-19. – Malaysia Gazette