Skim bantuan Hijrah Selangor (Hijrah)

KUALA LUMPUR – Borang permohonan Skim Bantuan Hijrah Selangor (Hijrah) untuk usahawan baharu memulakan perniagaan kini boleh didapati di seluruh cawangan pejabat Hijrah di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari berkata, pengambilan borang Mikrokredit, Niaga Darul Ehsan (NaDI) dan Go Digital itu dibuka setiap hari kecuali hari Sabtu dan Ahad.

“Pembukaan pengambilan borang adalah dari jam 9 pagi hingga 1 petang sepanjang tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini.

“Pemohon diharuskan membuat temujanji terlebih dahulu menerusi panggilan telefon sebelum hadir ke cawangan berhampiran,” katanya di Facebook malam semalam.

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan bagi membantu peniaga mendapatkan pelan pinjaman minimum sebanyak RM1,000.

Skim tersebut menyasarkan 3,000 penerima untuk terus berniaga menggunakan lesen penjaja sementara daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Manakala Skim Go Digital pula telah menyasarkan 3, 000 usahawan sedia ada menerusi pinjaman pembelian alat telekomunikasi.

Sementara itu, Skim Mikrokredit pula merupakan pinjaman modal untuk usahawan baharu memulakan perniagaan. -MalaysiaGazette