Foto hiasan

BATU KAWAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang (JBPPP) mencatatkan sejarah tersendiri apabila tiada pegawai mahupun anggotanya positif Covid-19 setakat ini.

Pengarah JBPPP, Saadon Mokhtar berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan pada setiap operasi kecemasan menjadikan penularan Covid-19 dalam kalangan bomba negeri itu sifar.

“Kita antara pasukan barisan hadapan yang turun berkhidmat kepada masyarakat dalam pelbagai isu bukan saja kebakaran tetapi bagi tugas-tugas khas termasuk membantu pihak berkuasa mengambil mayat.

“Bagi mengekang penularan wabak Covid-19 pihak bomba menekankan setiap pegawai serta anggota perlu memakai Pakaian Perlindungan Peribadi (PPE) dan mesti sanitasi diri sebaik pulang dari sesuatu kes.

“Saya percaya dengan mengamalkan SOP yang betul dan menjaga kebersihan mampu memutuskan rantaian Covid-19 daripada merebak,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Untuk rekod JBPPP mempunyai 825 pegawai dan anggota. – MalaysiaGazette