Noor Azimah (dua dari kanan) menyerahkan pelindung muka UMS Covi-Pro kepada wakil dari SMK Putatan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 500 pelindung muka UMS Covi-Pro telah disumbangkan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan dalam satu majlis ringkas baru-baru ini.

Pengarah Pusat Instrumentasi dan Perkhidmatan Sains (PIPS), Prof. Madya Dr. Zaleha A. Aziz berkata, sumbangan tersebut merupakan keprihatinan UMS dalam usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 termasuk di kawasan sekolah.

“Diharap sumbangan pelindung muka ini dapat dimanfaatkan oleh warga SMK Putatan khususnya dalam memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Pusat Instrumentasi dan Perkhidmatan Sains UMS, Prof Madya Dr Zaleha A. Aziz

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Faridah Yanin telah menyampaikan penghargaan kepada pihak UMS atas sumbangan tersebut.

“Sumbangan ini amat bermakna kepada pihak sekolah khususnya dalam membantu menjamin keselamatan para pelajar daripada ancaman pandemik Covid-19.

“Ini turut memudahkan pihak sekolah dalam memastikan setiap langkah prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dipatuhi semasa menghadapi peperiksaan SPM yang bermula pada 23 Februari ini dan STPM yang akan bermula pada bulan Mac nanti,” katanya.

Faridah turut memaklumkan pelindung muka tersebut akan diberikan kepada 262 pelajar SPM dan 170 pelajar STPM untuk kegunaan ketika peperiksaan berlangsung.

Dalam majlis ringkas tersebut, Faridah mewakili SMK Putatan telah menerima sumbangan pelindung muka UMS Covi-Pro yang disampaikan oleh Pegawai Sains PIPS, Noor Azimah Pelah.

Untuk rekod awal bulan ini, sebanyak 250 pelindung muka telah disumbangkan kepada SMK St. Mary Limbahau.

Mengulas lanjut, pelindung muka UMS Covi-Pro dihasilkan oleh pasukan sukarelawan Fakulti Kejuruteraan yang diketuai oleh Dr. Choong Wai Heng untuk kegunaan kakitangan dan anggota barisan hadapan UMS serta turut disumbangkan kepada petugas barisan hadapan di pelbagai agensi antaranya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Hospital Likas, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan MASwings Sdn. Bhd. – MalaysiaGazette