Rina Mohd Harun foto SYAFIQ AMBAK, 29 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Hanya 95 jurubahasa isyarat berdaftar di bawah Persekutuan Orang Pekak Malaysia, ketika ini.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, jumlah itu amat kecil jika dibandingkan dengan jumlah Orang Kelainan Upaya (OKU) Pendengaran seramai 40,389.

Dengan itu, kementerian katanya, sedang berusaha untuk menaiktaraf bidang jurubahasa isyarat dan melihat pilihan-pilihan yang ada untuk mengiktiraf kepentingan jurubahasa isyarat.

Inisiatif ini menurut Rina akan dimulakan di sektor awam.

“Saya menggesa semua warga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk mendapatkan pendedahan sekurang-kurangnya belajar asas komunikasi bahasa isyarat.

“Klien yang hadir ke KPWKM dan agensi adalah termasuk OKU pendengaran dan pertuturan, oleh yang demikian pengetahuan serta kemahiran berbahasa isyarat ini merupakan nilai tambah yang sewajarnya ada untuk kita menyantuni semua golongan masyarakat di negara ini,” katanya ketika merasmikan pelancaran Program MySign: Kursus Bahasa Isyarat Malaysia, secara maya hari ini.

Tambah Rina, orang ramai juga digalakkan mempelajari bahasa isyarat sebagai medium komunikasi yang kondusif melalui kursus yang akan dianjurkan secara dalam talian.

Katanya, ia boleh membuang tanggapan bahawa keperluan mempelajari bahasa isyarat tidak terhad kepada golongan OKU Pendengaran serta ahli keluarga mereka sahaja. – MalaysiaGazette