Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Kamarul Baharin Mansor (tengah). Foto SHAFIY ZUL, 23 FEBRUARI 2021

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mempersoalkan tindakan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang didakwa gagal menyerahkan yuran bulanan ahli kesatuan sekerjanya yang kini mencecah RM140,000 setakat Januari lalu.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor mendakwa, meskipun AIM memotong yuran keahlian sebanyak RM12 setiap bulan, namun badan itu masih gagal menyerahkan kutipan itu kepada Kesatuan Pekerja-Pekerja Amanah Ikhtiar Malaysia Semenanjung Malaysia (KEPAIM).

“AIM memotong gaji pekerja untuk yuran kesatuan tapi tidak disalurkan kepada KEPAIM.

“Kami bersama KEPAIM ingin menyeru dan mahu AIM ini membayar balik sebanyak RM145,200.

“Yuran ini sudah diambil dan dipotong daripada gaji pekerja selama 10 bulan,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Terdahulu beliau bersama wakil KEPAIM dan Gerakan Pembela Ummah membuat laporan polis kerana kegagalan AIM dalam menjelaskan yuran bulanan ahlinya yang telah dibuat pemotongan gaji.

KEPAIM telah didaftarkan secara rasmi sebagai kesatuan sekerja oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja pada 9 Ogos 2003.

Sepanjang tempoh tersebut, lima perjanjian bersama di antara KEPAIM dan AIM telah ditandatangani dan mendapat pengiktirafan Mahkamah Perusahaan Malaysia.

Dalam pada itu, MTUC menyifatkan kegagalan AIM menyerahkan yuran ahlinya sebagai satu pelanggaran kepada perjanjian yang dimeterai di antara kesatuan sekerja dengan badan itu.

“Kita rasakan ini satu penindasan kepada pekerja-pekerja kerana duit itu adalah duit pekerja.

“Duit ini adalah hak kesatuan sekerja, AIM tiada hak untuk menyimpan kutipan yuran ahlinya,” katanya.

Menurut Kamarul Baharin, sebelum ini MTUC ada menghantar surat rasmi kepada AIM meminta penjelasan mengenai perkara itu, namun kesal tiada sebarang maklum balas diterima.

“Oleh kerana itu kita memohon pihak polis menyiasat apa sebabnya AIM tidak yuran ahli kepada kesatuan sekerja.

“Adakah duit ini digunakan oleh AIM? Yang pasti duit sebanyak RM145,200 telah dipotong daripada gaji pekerja,” katanya.

MTUC turut menyeru syarikat-syarikat lain tidak mengikut amalan buruk yang ditunjukkan AIM pada hari ini.

“Bila perkara ini berlaku, keharmonian dalam perusahaan tidak akan wujud di tempat kerja.

“AIM perlu bertindak sebagai syarikat yang beramanah dan bertanggunjawab, duit ini duit pekerja,” katanya.

Sementara itu, Kamarul Baharin turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan AIM sebelum ini yang mahu membatalkan pendaftaran KEPAIM.

“Permohonan AIM itu tidak wajar dan tidak patut dibuat oleh syarikat besar kerana ia telah lama beroperasi di negara ini dan KEPAIM pula hampir 18 tahun ditubuhkan,” katanya. – MalaysiaGazette