Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia akan membuka permohonan bagi kuota Tarif Galakan atau Feed-in Tariff (FiT) sebanyak 188MegaWatt (MW) untuk sumber biogas, mini hidro dan biojisim di Semenanjung.

Daripada jumlah itu, kuota sebanyak 32MW akan dikhaskan bagi sumber biogas, 126MW untuk sumber mini hidro dan 30MW bagi sumber biojisim.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, semua kuota itu boleh dipohon secara bidaan atas talian (e-bidding) melalui laman sesawang SEDA Malaysia, bermula 1 Jun ini untuk biogas, 8 Jun untuk mini hidro dan 22 Jun untuk biojisim.

Katanya, permohonan kuota FiT secara e-bidding mula dilaksanakan pada 2018 bagi sumber biogas sebelum diperluaskan unuk sumber mini hidro pada 2019 dan sumber biojisim tahun ini.

“Pelaksanaan e-bidding ini bagi memastikan kuota FiT diluluskan kepada pembida dengan tawaran tarif terendah.

“Pendekatan ini membolehkan dana Kumpulan Wang tenaga Boleh Baharu (KWTBB) dioptimumkan, seterusnya lebih banyak kuota FiT ditawarkan kepada syarikat pemaju Tenaga Boleh baharu (TBB),” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan menjangkakan penawaran kuota FiT yang baharu itu berupaya menjana pelaburan sebanyak RM1.5 bilion dan mewujudkan kira-kira 600 peluang pekerjaan dalam industri TBB.

Menurut Shamsul Anuar, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara pasca penularan wabak Covid-19, khususnya dalam sektor tenaga.

Kata beliau, projek yang bakal diluluskan itu akan mula menjana dan membekalkan elektrik mulai pertengahan tahun 2024.

Sejak Program FiT diperkenalkan tahun 2011, kuota sebanyak 1,394MW telah diluluskan bagi semua sumber TBB melibatkan sebanyak 10,476 projek di seluruh negara. – MalaysiaGazette