Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang suspek lelaki yang melarikan sebuah teksi.

Kejadian berlaku pada jam 10 pagi semalam apabila pemandu teksi berusia 65 tahun itu mengambilseorang  penumpang lelaki di Jalan Raja Laut.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, semasa kejadian suspek meminta mangsa menghantarnya ke Taman Pinggiran di Batu Caves.

“Setelah sampai di lokasi iaitu di Jalan Pinggiran 2/3,suspek berpura-pura meminta pengadu untuk menunggu sekejap dengan alasan untuk berjumpa seorang kawan suspek.

“Suspek kemudian telah mengajak pengadu untuk menghisap rokok di teksi milik mangsa itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, selepas mangsa keluar dan mengeluarkan rokok untuk dihisap, suspek tiba-tiba masuk ke tempat duduk hadapan teksi Proton Persona dengan pendaftaran HWE 7748 dan mengunci pintu.

Menurut Arifai, pemandu teksi itu cuba menghalang suspek dengan membuka pintu hadapan penumpang.

“Tetapi suspek terus memecut laju melarikan teksi milik mangsa menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan kanan, tangan kiri, lutut kanan, ibu jari kaki kiri dan jari kaki kanan,” ujarnya.

Arifai berkata, polis telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan kes itu masih lagi di dalam siasatan.

Polis Daerah Gombak menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372 atau 03-61262222. – MalaysiaGazette