Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman. (kiri) menunjukkan 'Thumbs-up' selepas menandatangani MoA perjanjian biasiswa Dr. Lee Siew Keong semalam.

KUALA LUMPUR – Return Legacy Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat subsidiari SKG Group meneruskan pemberian biasiswa kepada pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan jumlah RM2 juta bagi tempoh lima tahun bermula tahun ini.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, dana pendidikan Return Legacy Sdn Bhd – Biasiswa Dr. Lee Siew Keong adalah unik kerana ia memberi keutamaan kepada pelajar yang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda dengan latar belakang kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Kita mengambil maklum bahawa kemampuan pembiayaan sering kali menjadi penghalang kepada pelajar yang datang daripada golongan B40 untuk melanjutkan pelajaran khususnya di universiti.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman dan Dr Lee Siew Keong sedang menandatangani MoA perjanjian biasiswa Dr. Lee Siew Keong menerusi aplikasi zoom, semalam

“Pihak Return Legacy mengambil pendekatan yang berbeza iaitu keberadaan dan pemilihan pelajar ke UKM adalah sebagai bukti kemampuan mereka untuk cemerlang dan dapat menyempurnakan pengajian di universiti dengan jayanya,” katanya menerusi aplikasi zoom semalam.

Beliau difahamkan, hubungan UKM dengan Return Legacy bukanlah setakat penubuhan dana pendidikan sahaja, tetapi mereka juga bermurah hati untuk memberi tajaan terhadap proses penambahbaikkan bilik-bilik diskusi yang terdapat di Perpustakaan Undang-Undang, Fakulti Undang-Undang.

“Kami di UKM amat berterima kasih di atas segala sumbangan daripada pihak Return Legacy kepada UKM,” ujarnya.

Prof. Mohd Ekhwan berkata, daripada 4,619 pelajar yang telah memohon untuk program biasiswa tersebut, hanya 50 pelajar sahaja yang berjaya.

“Justeru, Memorandum Perjanjian (MoA) bagi Biasiswa Dr. Lee Siew Keong akan diulang taja oleh Pihak Return Legacy bermula pada tahun ini bagi tempoh lima tahun sehingga 2026.

“Semoga dengan termeterainya MoA ini, hubungan dinamik antara Return Legacy dan UKM akan terus kukuh pada masa akan datang,” ujarnya.

Dana Pendidikan Return Legacy – Biasiswa Dr. Lee Siew Keong dimulakan pada 2015, iaitu dari sesi akademik 2015 sehingga 2020 dengan jumlah biasiswa yang diberikan sebanyak RM2 juta. – MalaysiaGazette