Sebanyak 30 lagi kluster baharu Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam lalu terutama melibatkan tempat kerja.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan hari ini telah mengenalpasti lapan kluster baharu Covid-19 dan tujuh daripadanya berkaitan tempat kerja manakala satu lagi melibatkan komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kelapan-lapan kluster baharu itu ialah Kluster Jalan Enam, Kluster Jalan Ulu Choh, Kluster Perindustrian Lukut, Kluster Jalan Dato Yunus, Kluster Sinsingon, Kluster Pasar Bidor, Kluster Lorong Bakau dan Kluster Vista Hilir.

“Kluster Jalan Enam melibatkan daerah Petaling di Selangor di mana kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula 7 Februari lalu hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan SU 6A, Shah Alam.

“Sehingga 24 Februari 2021, sejumlah 173 individu telah disaring, di mana 15 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Kluster Jalan Ulu Choh pula melibatkan daerah Pontian di Johor di mana dua kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 21 Februari lalu hasil saringan individu-individu bergejala.

“Kluster ini melibatkan sebuah kilang yang terletak di  Jalan Ulu Choh, Pekan Nenas, Pontian. Sehingga 24 Februari 2021, sejumlah 190 individu telah disaring, di mana 34 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Bagi Kluster Perindutrian Lukut pula, ia melibatkan tempat kerja ini di daerah Kota Tinggi, Johor di mana kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 24 Februari lalu.

“Ia hasil daripada saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Lukut, Kota Tinggi.

“Sehingga 24 Februari 2021, sejumlah 239 individu telah disaring, di mana 28 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Menurutnya, Kluster Jalan Dato Yunus yang terletak di Johor Bahru, Johor pula mempunyai kes-kes positif Covid-19 pada 24 Februari lalu hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Dato Yunus Sulaiman, Gelang Patah, Johor Bahru.

“Sehingga 24 Februari 2021, sejumlah 30 individu telah disaring, di mana lapan (8) kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kluster Sinsingon yang melibatkan daerah Nabawan, Sabah mempunyai tiga kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada 23 Februari lalu hasil saringan kemasukan ke asrama.

“Kluster ini melibatkan satu majlis pengebumian di Kampung Sinsingon, Nabawan yang berlangsung di antara 17 hingga 20 Februari 2021 dan turut dihadiri oleh kes-kes indeks.

“Sehingga 24 Februari 2021, sejumlah 106 individu telah disaring, di mana 18 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Bagi Kluster Pasar Bidor pula, ia melibatkan kluster tempat kerja di daerah Batang Padang, Perak di mana kes indeks merupakan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) dan telah dilaporkan positif Covid-19 pada 28 Februari lalu.

“Kes indeks juga merupakan seorang peniaga pasar di Bidor, Batang Padang. Sehingga 24 Februari 2021, sejumlah 112 individu telah disaring, di mana 25 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Manakala dua klsuter lagi terletak di Pulau Pinang iaitu Kluster Lorong Bakau yang juga kluster tempat kerja melibatkan daerah Seberang Perai Selatan di mana kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 24 Februari lalu.

“Ia hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Kawasan Perusahaan Perabot, Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan.

“Sehingga 24 Februari 2021, sejumlah 297 individu telah disaring, di mana 50 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Satu lagi kluster baharu yang dikenali sebagai Kluster Vista Hilir merupakan kluster tempat kerja melibatkan daerah Timur Laut dan Barat Daya di Pulau Pinang.

“Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 15 Februari 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Hilir Sungai Kluang 2, Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, Barat Daya.

“Sehingga 24 Februari 2021, sejumlah 154 individu telah disaring, di mana 35 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette