Gambar Hiasan. Foto HAZROL ZAINAL, 22 FEBRUARI 2021.

Saudara pengarang,

Alhamdulillah. Sudah tiga hari peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 berlangsung selepas tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Meskipun dalam calon SPM 2020 berdepan dengan keadaan luar biasa namun diharapkan pelajar-pelajar ini terus berjuang dengan semangat yang kental sehingga hari terakhir.

Di sebalik rasa lega dengan peperiksaan yang sedang berjalan, namun bagi guru-guru yang dilantik sebagai pemeriksa kertas SPM 2020 mula merasai ‘bahang’.

Ini kerana tindakan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan yang mahu menyegerakan pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 menimbulkan kebimbangan.

Sebelum ini, Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali menjangkakan keputusan SPM 2020 diumumkan lebih awal.

Malah, tarikhnya juga sudah ditetapkan.

Para pemeriksa kertas bimbang pemeriksaan kertas calon-calon mungkin dibuat secara tergesa-gesa.

Pemeriksa SPM 2020 hanya diberikan tempoh selama 12 hari berbanding kira-kira tiga minggu pada tahun-tahun sebelumnya.

Dengan mengambilkira bahawa setiap pemeriksa perlu memeriksa 200 hingga 250 dan kali pemeriksaan dibuat secara dalam talian, tidak dinafikan wujudnya keadaan tekanan untuk menyiapkan keseluruhan proses dengan segera.

Ini bermakna secara purata setiap hari pemeriksa perlu memeriksa 20 hingga 21 kertas soalan berbanding 11 atau 12 kertas.

Tekanan mental dan emosi yang dihadapi oleh pemeriksa mungkin boleh memberikan kesan terhadap tahap penumpuan mereka ketika memeriksa kertas jawapan bertulis SPM, lebih-lebih lagi dalam keadaan penularan wabak Covid-19.

Tidak dinafikan pihak Lembaga Peperiksaan telah melaksanakan pemeriksaan kertas secara dalam talian sebelum ini melibatkan Sijil Tinggi Agama Malaysia pada tahun 2019 dan peperiksaan ulangan SPM tetapi jumlah calon tidaklah seramai pada tahun ini.

Sejumlah 401,105 calon akan menduduki peperiksaan SPM 2020 mulai 22 Februari hingga 25 Mac.

Pendidik Prihatin
Melaka