Wan Junaidi Tuanku Jaafar

PUTRAJAYA – Yayasan Bank Rakyat hari ini menyampaikan sumbangan kepada pelajar dalam kalangan B40 dan mangsa banjir di Sarawak berjumlah RM400,000.

Dengan sumbangan itu, pelajar dalam kalangan B40 yang bakal memulakan persekolahan pada 4 Mac nanti menerima RM200 secara one-off merangkumi pembelian baju, kasut  dengan beg sekolah.

Dalam masa yang sama, golongan miskin yang terkesan dengan bencana banjir yang berlaku pada awal bulan Januari lalu turut menerima sumbangan secara keseluruhan berjumlah RM200,000.

Sumbangan ini melibatkan kerjasama di antara Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat), SME Bank dan Uda Holdings.

Pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan B40 layak menerima bantuan secara
‘one-off’ yang berjumlah RM200 setiap seorang merangkumi pembelian baju, kasut
dan beg sekolah.

Sumbangan ini melibatkan 1,000 orang pelajar di sekitar kawasan Sarawak sempena dengan Program Kembali ke Sekolah YBR.

Inisiatif bantuan persekolahan BTS (Back To School) yang sudah memasuki tahun ketiga penganjuran ini memberi manfaat kepada 33,721 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM3.07 juta.

Bantuan dalam pelbagai bentuk bernilai RM200 juga diberikan kepada setiap keluarga
yang telah dikenalpasti terkesan akibat kemusnahan dan kerosakan harta benda
daripada musibah banjir.

Seramai 500 keluarga mangsa banjir di sekitar kawasan Sarawak yang memerlukan bantuan keperluan asas bagi kelangsungan hidup akan menerima manfaat ini.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM100,000 lagi akan diberikan kepada keluarga mangsa banjir yang terlibat di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku yang menerima sumbangan itu berkata, beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong akan memastikan semua penerima tidak akan tersisih.

Menurutnya, seramai 1,000 orang pelajar di sekitar kawasan Sarawak menerima one-off ini sempena dengan Program Kembali Ke Sekolah YBR.

Wan Junaidi berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban keluarga dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak khususnya untuk sesi pengajaran dan pembelaran (P&P).

Beliau dalam masa yang sama mengucapkan penghargaan kepada Yayasan Bank Rakyat yang membantu memberikan bantuan kepada masyarakat yang kurang berkemampuan dan yang terjejas akibat banjir.

“Insya Allah sumbangan ini akan disampaikan kepada mangsa banjir termasuk kawasan di Parlimen Santubong bila saya balik ke kawasan nanti,” tambahnya.

Turut hadir ketika majlis simbolik penyerahan Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Nazir Husin Aktar Husin, Pemangku Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan. -MalaysiaGazette