KUALA LUMPUR – Sebanyak RM1,000 bantuan mobiliti akan diberikan kepada sesiapa yang berjaya mendapatkan kerja di kawasan yang terletak sekitar 100 kilometer daripada kediaman mereka menerusi Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, bagi yang mendapatkan pekerjaan dengan jarak kurang daripada 100 kilometer pula layak menerima RM500.

Menurutnya, KSM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terus komited untuk membantu rakyat bagi mencari kerja meskipun berhadapan dengan cabaran norma baharu akibat penularan Covid-19.

Ini kerana kebajikan dan kesejahteraan rakyat tidak boleh dipinggirkan dalam usaha memulihkan ekonomi negara, kata Saravanan.

“Sementara itu, cabaran norma baharu dan pandemik ini tidak akan memudarkan komitmen ataupun mematahkan semangat kami di KSM dan juga Perkeso untuk membantu pencari kerja dan juga majikan.

“Dalam usaha menstabilkan pasaran buruh negara dan menyokong pemulihan ekonomi negara, kebajikan dan kesejahteraan golongan pekerja tetap diberi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021 dan Pelancaran Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MYFutureJobs menerusi atas talian hari ini.

Saravanan berkata, sebanyak 78 buah syarikat termasuk syarikat multinasional dengan lebih 10,800 jawatan kosong ditawarkan menerusi sesi temu duga secara maya bermula sejak 24 sehingga 26 Febuari lalu.

Beliau berharap rakyat yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 tidak berputus asa sebaliknya memanfaatkan karnival itu untuk merebut peluang baharu.

“Saya yakin para majikan dapat menilai anda sebaiknya sebagai calon untuk menyertai organisasi mereka, walaupun temu duga diadakan secara dalam talian,” tambahnya.

Saravanan dalam masa sama mengucapkan tahniah kepada Perkeso atas penganjuran program yang disifatkan amat bermakna dan memberi manfaat kepada rakyat khususnya mereka yang telah kehilangan pekerjaan, para siswazah, belia lepasan sekolah, golongan rentas dan semua pencari kerja di negara ini.

Perkeso menganjurkan Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021 Kementerian Sumber Manusia sehingga 26 Februari ini bagi merangsang pasaran buruh dan membantu individu yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan sejak pandemik menular.

Sempena karnival yang sama, pelbagai pengisian program telah dirangka antaranya, sesi webinar yang berlangsung pada 23 Februari lalu.

Dalam usaha membangunkan modal insan serta menyediakan belia yang memenuhi kehendak industri dan pasaran buruh semasa, Perkeso turut mengatur kerjasama dengan pelbagai pihak.

Ia termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd, Junior Achievement Malaysia Bhd dan B-A-C Education Group. Memorandum Persefahaman (MoU) antara semua pihak telah dimeterai awal minggu ini.

Turut hadir ketika majlis perasmian atas talian adalah Pengerusi Lembaga Perkeso Tan Sri Profesor Dr Mohamed Haniffa Abdullah dan Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Mohamed Azman Aziz Mohammed.-MalaysiaGazette