JPN Selangor Ministry of Education (MOE) teacher rape jokes SMK Puncak Alam Ain
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan penerbitan buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah Tingkatan 4 berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSM Sejarah Tingkatan 4 serta mengikut Prosedur Operasi Standard Penerbitan Buku Teks KPM yang dikemas kini pada tahun 2018.

DSKP KSSM Sejarah Tingkatan 4 telah diteliti, disemak dan diperakui sah oleh Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM pada 24 April 2018,

Mereka adalah pakar sejarah seramai tujuh orang daripada pelbagai pengkhususan dan kaum. Kandungan DSKP KSSM Sejarah Tingkatan 4 adalah berpandukan Laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah KPM (2011-2012).

KPM dalam kenyataan berkata, pemilihan penulis buku teks pula adalah berdasarkan Tatacara Penerbitan Pakej Buku Teks Dewan Bahasa dan Pustaka dan mengikut kriteria khusus iaitu mempunyai latar belakang pendidikan sejarah serta berpengalaman menulis buku teks Sejarah.

Proses penerbitan buku teks KSSM Sejarah Tingkatan 4 telah melalui proses kawalan mutu yang ketat merangkumi pemetaan kandungan, penulisan manuskrip, penyediaan dan penyemakan pruf muka surat, naskhah sedia kamera, pemerakuan naskhah sedia kamera, naskhah contoh, apresiasi kulit buku teks dan kelulusan naskhah contoh bagi menyediakan naskhah edar.

Malah, proses ini melibatkan Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM, Jawatankuasa Peningkatan Mutu Buku Teks, Jawatankuasa Pembaca Luar dan Jawatankuasa Penilaian Teknikal 4 KPM.

Bagi mewasitkan fakta tertentu, KPM mendapatkan pengesahan fakta sejarah dan kandungan daripada agensi kerajaan yang terlibat seperti Arkib Negara, Muzium Negara, Persatuan Sejarah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

KPM menegaskan bahawa buku teks KSSM Sejarah Tingkatan 4 telah mematuhi semua proses penerbitan bagi menjamin kualiti buku teks, termasuk ketepatan fakta, tambah KPM. – MalaysiaGazette