Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Chow Kon Yeow akan menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech bagi mencegah wabak Covid-19 pada Ahad ini.

Beliau sekali gus menjadi individu pertama menerima vaksin di negeri ini.

Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan berkata, Kon Yeow akan melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi negeri Pulau Pinang pada 28 Februari ini.

“Susulan itu, beliau akan diberikan suntikan dos vaksin pertama sebagai simbolik bermulanya program itu di negeri ini dan disusuli Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin.

“Selain mereka, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Razak Jaafar; Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Asmayani Khalib serta Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan juga akan menerima vaksin pada sesi yang sama,” kata kenyataan itu hari ini.

Jabatan Kesihatan negeri sebelum ini memaklumkan program berkenaan bakal dipecahkan kepada tiga fasa membabitkan tempoh pelaksanaan selama setahun.

Sasaran adalah meliputi 70 peratus iaitu 1.3 juta rakyat Pulau Pinang bagi membolehkan imuniti kelompok dibentuk.

Sehingga kini, sebanyak 15 lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) telah dikenal pasti membabitkan tiga dewan bagi setiap daerah di negeri ini.– MalaysiaGazette