Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi keterangan kepada polis berhubung kenyataan bersama yang dikeluarkan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang menolak keputusan kerajaaan mengisytiharkan darurat di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed yang mengesahkan perkara itu berkata, pegawai polis menyiasat kes itu telah pergi ke Ibu Pejabat PKR pada jam 3.30 petang untuk merakam keterangan Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Saya boleh sahkan pegawai polis hari ini telah selesai mengambil keterangan daripada Anwar Ibrahim petang tadi.

“Pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 JSJ Bukit Aman yang menyiasat kes ini telah ke pejabat pemimpin itu dan ambil keterangan daripadanya,” katanya.

Menurut Huzir, kes disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambahnya, mengikut Seksyen 505 (b) jika disabitkan kesalahan seseorang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali manakala di bawah Seksyen 233 AKMM memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Pada 12 Januari lalu, Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama dengan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menolak keputusan kerajaaan mengisytiharkan darurat di seluruh negara. – MalaysiaGazette