PRINSIP kebebasan bersuara adalah sebahagian daripada prinsip hak asasi manusia sejagat dan termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan negara. Kebebasan bersuara tidak perlu dilihat sebagai ancaman ataupun musuh pada setiap masa. Walaupun orang ramai sering diseru mengunakan kebebasan bersuara dengan baik dan penuh tanggungjawab, pihak pemerintah juga perlu memainkan peranan memastikan hak asasi setiap rakyat Malaysia untuk bersuara terus dihormati dan dilindungi.
Kebebasan untuk bersuara adalah penting untuk setiap manusia di atas muka bumi ini kerana melaluinya seseorang individu itu dapat melakukan pelbagai perkara seperti mempertahankan diri mereka sendiri, membantu masyarakat sekeliling serta memajukan negara. Agak sukar untuk seseorang individu itu, masyarakat dan negara untuk maju dan bergerak ke hadapan sekiranya hak mereka untuk bersuara tidak dihormati.
Setiap manusia dilahirkan unik dan berbeza dengan memiliki pelbagai ragam, pandangan, dan pemikiran. Setiap keunikan dan perbezaan ini sekaligus melahirkan pelbagai jenis pemahaman dan pendapat yang berbeza antara satu sama lain. Pemahaman dan pendapat yang berbeza ini seharusnya didengari, dinilai dan dipertimbangkan untuk digunakan bagi membantu masyarakat dan negara bergerak ke hadapan demi manfaat dan kebaikan semua pihak.
Sekiranya pemerintah mewujudkan sebarang jenis undang-undang baharu ataupun mengunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengekang kebebasan orang ramai untuk bersuara serta meluahkan pandangan dan pendapat, a dibimbangi boleh membantutkan kemajuan dan pembangunan negara. Kebebasan setiap orang bersuara ini sebahagian daripada hak asasi setiap manusia. Artikel 19 Peristiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) memperuntukan dengan jelas kebebasan setiap manusia diserata dunia untuk bersuara bagi meluahkan pandangan dan pendapat mereka.
Penting juga untuk kita ketahui, kebebasan individu untuk bersuara juga bagi mengekalkan semangat demokrasi yang telah lama diamalkan dalam negara kita iaitu sejak negara kita mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957. Seperti yang telah dinyatakan, hak setiap rakyat Malaysia untuk bersuara juga telah jelas termaktub dan dilindungi dibawah Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.
Bahagian II dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukan dengan jelas mengenai kebebasan asasi setiap warganegara dalam negara kita. Salah satu bentuk kebebasan asasi yang jelas dilindungi dalam negara kita adalah kebebasan setiap rakyat negara ini untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan seperti yang jelas terkandung di dalam Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan itu
sendiri.
Setiap jenis kebebasan termasuk kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat adalah asas kewujudan demokrasi dalam sesebuah negara serta ia penting bagi menjamin serta melindungi maruah setiap diri manusia itu sendiri serta menjamin kemajuan dan pembangunan negara. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi sekali dalam Malaysia. Sebarang jenis peruntukanundang-undang yang ingin dirangka oleh pihak kerajaan perlu selari dengan prinsip dan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Sekiranya peruntukan undang-undang yang telah dirangka tidak selari dengan prinsip dan semangat Perlembagaan Persekutuan, maka peruntukan undang-undang terbabit boleh diistiharkan sebagai terbatal ataupun tidak sah. Tidak dapat dinafikan setiap jenis hak asasi yang telah diperuntukan termasuk kebebasan untuk bersuara tidak bersifat mutlak.
Perkara 10 (2) Perlembagaan Persekutuan ada memperuntukan bahawa “Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan apa – apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana- mana bahagiannya,
hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan”.
Dengan ini, pihak Parlimen boleh mengenakan sekatan terhadap kebebasan bersuara melalui undang- undang jika mendapati sekatan tersebut perlu demi menjaga kepentingan keselamatan Persekutuan, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral. Sekatan yang dikenakan terhadap perkara ini dilihat menjadi satu keperluan penting supaya tidak ada mana-mana pihak dalam negara kita yang menyalahgunakan atau mengambil peluang di atas prinsip kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat yang telah diberikan.
Walaupun kebebasan untuk bersuara boleh dihadkan berdasarkan peruntukan Perkara 10 (2) Perlembagaan Persekutuan ini, namun ia tidak bermakna pihak pemerintah boleh merangka sebarang jenis undang-undang bagi menutup terus kebebasan setiap rakyat Malaysia untuk bersuara ataupun mengunakan sebarang jenis peruntukan undang- undang sedia ada dalam negara kita bagi mengekang hak setiap rakyat untuk bersuara. Hak orang ramai untuk bersuara mesti diberi keutamaan supaya setiap orang tidak merasakan diri mereka dipinggirkan atau disisihkan dalam kemajuan dan pembangunan negara.
Semua pihak harus berani mendengar setiap rintihan dan luahan hati setiap orang walaupun ia merupakan satu proses yang sukar dan berat untuk dilakukan. Setiap pandangan harus didengari dan difahami dengan baik. Sekiranya terdapat sebarang perbezaan pendapat, proses perbincangan dan perdebatan perlu dilakukan supaya semua pihak yang terlibat dapat memahami dengan lebih baik apa yang ingin disampaikan oleh mereka serta menyelesaikan sebarang jenis isu ataupun masalah berbangkit.
Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)