Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) & Kuarters Kakitangan Batu Gajah, Kinta, Perak yang tamat esok dilanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 13 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 761 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 433 kes positif Covid-19 direkodkan.

“KKM mengesahkan peningkatan kes masih berlaku melibatkan tahanan di PPA ini apabila sebanyak 13 kes baharu direkodkan pada 25 Februari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di pusat dan kuarters itu.

Sementara itu, beliau memberitahu, pelaksanaan PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan, Sabah turut dilanjutkan sehingga 12 Mac ini.

“Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 42 kes positif Covid-19 telah direkodkan yang melibatkan kedua-dua lokaliti ini.

“KKM juga mengesahkan bahawa berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan, Sabah bermula 27 Februari 2021 hingga 12 Mac ini,” katanya.

Ujar beliau, pelaksanaan PKPD itu adalah untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti.

Tambah Ismail Sabri, PKPD akan dilaksanakan di Penempatan Sentosa Timur Fasa 2, Sibu, Sarawak bermula esok hingga 12 Mac ini selepas Covid-19 dikesan di kawasan tersebut.

Ujar beliau, sehingga kini sebanyak 59 kes direkodkan yang di lokaliti itu  dan KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 2500 penduduk serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti.

“Antara SOP PKPD yang telah ditetapkan adalah semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing;Semua rumah ibadat dan sekolah di dalam kawasan PKPD ditutup sepanjang tempoh ini.

“Semua sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi,sumbangan bantuan oleh NGO sepanjang tempoh PKPD perlu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu; Pemberian bantuan bekalan makanan akan diselaraskan secara bersama oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu dan Aktiviti sosial, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan,” katanya. – MalaysiaGazette