Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan Usahawan Negara, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudina memakaikan baju sekolah pada anak penerima, Siti Khatijah Aris sempena Program ''Back To School'' anjuran Yayasan Usahawan Negara (YUN) di Pusat Pakaian Hari-Hari Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Hanya mampu menyewa sebuah bilik kecil untuk tinggal bersama tiga anak.

Itu merupakan kepayahan hidup seorang ibu tunggal, Siti Khatijah Aris, 38, yang menjual makanan secara kecil-kecilan untuk menyara keluarga.

Temubual bersama penerima bantuan, Siti Khatijah Aris, 38 pada Program ”Back To School” anjuran Yayasan Usahawan Negara (YUN) di Pusat Pakaian Hari-Hari Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 FEBRUARI 2021.

Menurut Siti Khatijah, sudah hampir tiga tahun dia bersama tiga anak lelakinya masing-masing berusia 13, 10 dan 8 tahun menetap di bilik sewa di Desa Tasik.

“Saya menyara anak-anak dengan menjual makanan dan kuih-muih yang diambil dari orang. Boleh lah dapat sikit-sikit. Contoh kalau kuih saya ambil upah jual 10 sen setiap satu.

“Apa pun saya amat bersyukur kerana dapat anak-anak yang sangat memahami kesempitan hidup yang dialami. Mereka pun tidak pernah minta macam-macam dari saya.

“Saya juga berterima kasih kepada Yayasan Usahawan Negara (YUN) yang beri bantuan dan prihatin terhadap nasib ibu tunggal seperti kami,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pusat Pakaian Hari-Hari Sungai Besi hari ini.

Anak-anak Siti Khatijah merupakan sebahagian daripada 15 kanak-kanak yang menerima bantuan kelengkapan persekolahan menerusi program ‘Back To School’ anjuran YUN.

Sementara itu, ibu kepada lima anak, Suzana Abu Seman, 43, turut melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang disampaikan oleh pihak yayasan memandangkan ketika ini hanya dirinya sahaja yang menanggung perbelanjaan keluarga.

Temubual bersama penerima bantuan, Suzana Abu Seman, 43 pada Program ”Back To School” anjuran Yayasan Usahawan Negara (YUN) di Pusat Pakaian Hari-Hari Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 FEBRUARI 2021.

“Saya ada lima orang anak dan kesemuanya bersekolah. Anak yang bongsu kini di tadika manakala yang sulung di Tingkatan 4.

“Buat masa ini saya seorang yang bekerja sebagai eksekutif akaun selepas suami terlibat dalam kemalangan tiga tahun sehingga kakinya dipotong dan kini menggunakan kaki prostetik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pemegang Amanah YUN, Datuk Sri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, program anjuran yayasan tersebut mengumpulkan seramai 15 kanak-kanak dan pelajar daripada lima keluarga kurang berkemampuan dari kawasan Desa Tasik.

Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Usahawan Negara, Datuk Seri Megat D. Shariman Zaharudin bercakap kepada media selepas Program ”Back To School” anjuran Yayasan Usahawan Negara (YUN) di Pusat Pakaian Hari-Hari Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 FEBRUARI 2021.

Jelas Megat, inisiatif itu diambil bagi membantu anak-anak yang sebahagiannya akan kembali semula ke sekolah pada Isnin ini.

“Kita bantu keluarga yang susah di mana ada ibu yang terpaksa menyara keluarga selepas suami terlibat kemalangan dan ada juga ibu tunggal.

“Pada hari ini, saya maklumkan kepada ibu-ibu ini ambillah barangan kelengkapan sekolah yang diperlukan anak-anak, letak sahaja di kaunter bayaran,” katanya.

Mengulas lanjut, Megat berkata, mereka di yayasan amat memahami kesukaran hidup yang dilalui oleh orang ramai ketika musim wabak Covid-19 kerana ada segelintir yang hidupnya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Katanya lagi, bantuan persekolahan yang disalurkan kali ini lebih memfokuskan kepada golongan miskin bandar.

“Mungkin mereka ini ada terima bantuan tetapi tidak mencukupi kerana faktor anak-anak yang ramai.

“Bantuan yang diberikan juga tidak terhenti disini dan kita akan terus mencari dan membantu mereka yang memerlukan terutamanya anak-anak yang akan masuk ke sekolah,” ujarnya. – Malaysia Gazette